JOHOR BAHRU: Pasangan kembar seiras Siti Hasyimah dan Noor Hamizah Mohd Hanafi teruja apabila dapat melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) disini.
Berumur 20 tahun dan berasal dari Jengka Pahang, pasangan kembar itu amat gembira dapat belajar dan penginap di asrama bersama.
Kedua-duanya yang mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran dan Pembangunan itu akan mengikuti pengajian selama empat tahun.
“Saya amat gembira dapat masuk UTM bersama kembar saya dan berharap akan sentiasa mendapat anugerah dekan.
“Ini kali pertama saya bersama kembar saya berjauhan dengan ibu bapa, sedih ada sebab terpaksa berpisah demi mengejar cita-cita,” kata Siti Hasyimah kepada Utusan Malaysia.
Lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka 2, Pahang ini bercita-cita menjadi pendidik satu hari nanti dan berharap impian mereka menjadi kenyataan.
Pasangan kembar ini antara 3,482 pelajar baharu yang mula mendaftar masuk ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi pengajian Sarjana Muda Sepenuh Masa dan UTM International Degree Program (IDP) untuk sesi akademik 2023/2024 bermula hari ini.-UTUSAN