PETALING JAYA: Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan kejatuhan nilai ringgit berturut-turut menandakan kerajaan tidak melakukan langkah intervensi segera yang konkrit dan komprehensif.
Hamzah yang juga ketua pembangkang itu berkata, pada waktu ini, kerajaan lebih galak mencipta alasan demi alasan tanpa melakukan langkah intervensi.
Kata beliau, selama tiga hari berturut-turut, nilai ringgit menjunam ke paras melepasi RM4.70 dan ia sesuatu yang membimbangkan kerana kejatuhan berterusan akan memberi kesan drastik kepada ekonomi dan kadar inflasi negara.
“Bila ekonomi parah, yang merana tentulah rakyat lebih-lebih lagi hampir 52.3 peratus daripada keperluan makanan negara diimport, tetapi kerajaan masih lagi kaku dan beku.
“Dahulu ketika ringgit di paras bawah RM4.50, dialah yang paling lantang mengatakan Perikatan Nasional tak reti mentadbir, tetapi, sekarang, bukan sahaja ringgit menjunam ke paras terburuk, bekalan beras pun berdepan krisis yang tak kunjung selesai dan harga barang terus melonjak naik,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, kerajaan tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak sekiranya dilabel sebagai ‘kerajaan gagal’ memandangakan gagal dalam menangani isu terutama berkaitan bekalan makanan.
“Bila isu bekalan beras timbul, idea luar kotak menteri hanyalah suruh rakyat ubah sikap, kurangkan permintaaan agar bekalan terjamin dan kurangkan makan di luar rumah supaya kos sara hidup dapat dikurangkan.
“Ingatlah, rakyat nak melihat hasil kerajaan ini pun dah nak hampir setahun memerintah. Buatlah kerja dengan sebaik mungkin.
“Kalau beginilah cara negara diurus, janganlah salahkan mana-mana pihak jika ada yang melabelkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) -Barisan Nasional (BN) ini kerajaan gagal,” katanya.-UTUSAN