ALOR SETAR: Walaupun masih berdepan masalah gaji, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tetap bernafsu untuk memburu kedudukan kedua Liga Super bagi menempah slot ke Piala AFC, setelah menang 3-0 ke atas Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Darul Aman, petang ini.
Tuan rumah mengancam kubu lawan seawal minit ke-2 menerusi gerakan satu dua Amirul Hisyam Awang Kechik bersama Ifedayo Olusegun. Rembatan Amirul dari dalam kotak penalti bagaimanapun berjaya ditepis keluar Sikh Izhan yang bersedia di gawangnya.
Gol pertama Sang Kenari muncul pada minit ke-14 apabila kapten, Manuel Ott bijak melakukan rembatan lencong di luar kotak penalti yang gagal dijangkau Sikh Izhan.
Dua minit berselang, sorakan penyokong KDA bergema lagi apabila giliran Amirbek Juraboev yang tidak dikawal dalam kotak penalti mudah menolak bola masuk menewaskan Sikh Izhan setelah dia menerima hantaran lintang leret Ifedayo.
Selepas kerap ditekan, percubaan tepat pertama Negeri Sembilan hadir pada minit ke-28 menerusi rembatan dilakukan Filemon Anyie Standly. Kecekapan Kalamullah Al Hafiz bagaimanapun menjadi penghalang anak-anak buah K. Devan meraikan gol pertama mereka.
Tidak panik dengan asakan pelawat, KDA bertindak balas pada minit ke-38, kali ini menerusi tandukan Bojan Ciger yang menyambut sepakan percuma Manuel Hidalgo namun sekadar singgah di tiang malah tindakan susulan Ifedayo turut berjaya dihalang.
Memasuki babak kedua, Negeri Sembilan berusaha mengimbangi asakan tuan rumah, namun anak-anak buah Nafuzi Zain seakan-akan enggan memperlahankan rentak permainan.
Hasilnya gol ketiga hadir buat KDA FC menerusi Ifedayo pada minit ke-53. Penyerang dari Nigeria itu bijak memperdaya Sikh Izhan menggunakan kaki kiri, setelah dia menyambut hantaran lintang daripada Ott.
KDA FC cuba menambah jaringan pada minit-minit terakhir menerusi Hidalgo sewaktu masa tambahan namun rembatannya dari jarak dekat ditepis Sikh Izhan untuk kedudukan kekal 3-0 menyebelahi tuan rumah.
Kemenangan itu membolehkan KDA mengumpul 50 mata di tangga ketiga Liga Super setakat ini hanya dibezakan dua mata berbanding Selangor FC di tangga kedua.
Terdahulu, pemilik KDA, Tan Sri Mohd. Daud Bakar mengakui masalah aliran tunai dihadapi pasukan ketika ini menyebabkan gaji pemain, jurulatih dan pegawai pasukan tertunggak selama beberapa bulan. –UTUSAN