PETALING JAYA: Kompleks Kota Raya di ibu negara tidak akan bertukar menjadi Kota Manila jika pihak berkuasa terutama pihak berkuasa tempatan (PBT) tegas menjalankan tugas kerana kebanjiran warga asing termasuk yang menjalankan perniagaan di situ boleh dilihat sesiapa sahaja.
Yang Dipertua (YDP) Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP), Datuk Mohamad Abdullah hairan bagaimana pusat perniagaan itu boleh ‘diambil alih’ oleh warga asing, seolah-olah pihak berkuasa bersekongkol dengan membiarkan sahaja perkara itu berlaku.
Kata beliau, jolokan Kota Manila terhadap kompleks beli-belah di tengah-tengah ibu kota itu tidak berlaku jika PBT membuat pemantauan dan penguatkuasaan dari awal termasuk tidak memberikan lesen perniagaan kepada warga asing.
“Kalau PBT mendakwa penguasaan warga Filipina di Kota Raya disebabkan lesen ali baba, PBT patut siasat atau duduk berbincang dengan agensi lain bagaimana perkara ini boleh jadi begitu,” katanya semalam.
Beliau mengulas laporan Mingguan Malaysia bertajuk Kota Raya jadi Kota Manila, Ahad lalu dengan dakwaan fenomena itu berlaku disebabkan lesen ‘kenyit mata’ dikeluarkan PBT.
Menurut Mohamad, jika masalah di Kompleks Kota Raya tidak diselesaikan, pengunjung tempatan akan menjauhkan diri dari lokasi itu kerana tidak selesa, selain mungkin bimbang dengan keselamatan mereka.
“Kami memohon pihak berkuasa tidak memandang perkara ini sebelah mata dan situasi itu hendaklah ditamatkan segera,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan taktik segelintir warga asing yang memperguna warga tempatan bagi memudahkan mereka mengusahakan perniagaan di tapak niaga lokal.
“Kita sudah lali melihat taktik yang digunakan mereka (warga asing), misalnya mengawini orang tempatan bagi membolehkan mereka mengambil alih perniagaan tempatan seperti membuka kedai runcit dan perniagaan lain,” katanya. – UTUSAN









