BAGAN SERAI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia disyaki didera teman lelaki ibunya di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Juna Yusoff berkata, pemeriksaan ke atas mayat mangsa di Klinik Kesihatan Bagan Serai menemukan kesan melecur dan kecederaan pada beberapa bahagian badan.
Menurutnya, susulan kejadian polis menahan sepasang suami isteri warga emas dan anak lelaki mereka yang menjaga sementara kanak-kanak itu.
“Polis menerima laporan dari Klinik Kesihatan Bagan Serai mengenai seorang kanak-kanak lelaki yang sudah meninggal dunia mempunyai kesan kecederaan dan melecur di beberapa bahagian badan.
“Mangsa dihantar ke klinik itu oleh pasangan warga emas, iaitu ibu bapa kepada lelaki yang menjaga sementara kanak-kanak itu pada kira-kira pukul 7 petang semalam bagi tujuan rawatan setelah kanak-kanak itu tidak sedarkan diri,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan awal polis mendapati mangsa adalah anak kepada jiran pasangan suami isteri itu Taman Serai Permai dan dibawa pulang untuk dijaga oleh anak lelaki pasangan itu yang berusia 26 tahun.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk bedah siasat dan mendapati kematian mangsa berpunca daripada pendarahan teruk pada bahagian kepala akibat hentakan objek tumpul.
“Terdapat kecederaan teruk pada seluruh anggota tubuh badan mangsa dengan kesan luka melecur dipercayai akibat objek panas dan kecederaan pada lubang dubur mangsa,” katanya.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Ambri Mat Nayan di talian 01113092525 atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Kerian di talian 05 -7212222
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, jenazah kanak-kanak itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Matang Gerdu di sini pada pukul 5.20 petang tadi. – UTUSAN










