GAZA CITY: Pasukan penyelamat menggambarkan mereka `terseksa’ apabila terpaksa mengutip anggota badan seperti kepala, tangan atau kaki membabitkan kanak-kanak yang terbunuh akibat serangan udara Israel ke atas hospital di Gaza, Selasa lalu.
Lapor Daily Mail, pengalaman tersebut mengerikan selain terlalu sukar untuk melihat nyawa-nyawa yang terkorban akibat serangan tanpa perikemanusian.
Rata-rata doktor dan anggota penyelamat mengakui melihat banyak mayat terutamanya kanak-kanak dalam keadaan tanpa kepala dan beberapa anggota badan.

Malah, mereka menyifatkan insiden tersebut sebagai pembunuhan beramai-ramai.
“Sudah tentu, ini adalah pembunuhan beramai-ramai. Selepas tragedi itu, saya terpaksa mengutip tangan, kaki, mata dan kepala mangsa yang berkecai. Cuba anda bayangkan bagaimana rasanya?
“Saya tidak pernah berdepan situasi seperti ini dalam hidupku,” kata Ahmed Tafesh yang terlibat dalam operasi menyelamat di hospital di Gaza.
Lebih 500 orang maut dan ratusan lagi cedera dalam serangan udara Israel menyasarkan Hospital al-Ahli Arab di Gaza Selasa lalu.
Rakaman video menunjukkan kemusnahan teruk di pusat kesihatan itu, dengan cadar berlumuran darah menutupi ramai mangsa serangan ganas tersebut.
SERANGAN
Malah, kebanyakan saksi turut mendakwa bau mayat mangsa serangan masih kuat `melekat’ di sekitar lokasi kejadian itu.
Sebuah video tular menunjukkan mayat mangsa serangan udara bertimbun di luar pekarangan hospital ketika Gaza kehabisan beg mayat.
Ahli keluarga terpaksa mencari saudara mereka melalui timbunan mayat untuk mengenal pasti orang tersayang.
Pasukan penyelamat yang trauma pula tidak mempunyai pilihan selain terus merawat mangsa-mangsa yang masih selamat.
Seorang doktor bertugas dengan Doktor Tanpa Sempadan (MSF), Ghassan Abu Sitteh berkata, ketika kejadian, pasukannya sedang merawat penduduk yang datang berlindung di hospital tersebut.
“Pasukan kami beroperasi di hospital itu, terdapat letupan kuat dan siling jatuh di bilik pembedahan.
“Hospital tidak harus menjadi sasaran, cukup-cukuplah, pertumpahan darah ini perlu dihentikan segera,” katanya. – UTUSAN










