PONTIAN: Orang ramai khususnya masyarakat di daerah Pontian dipelawa memeriahkan Festival D’ Kukup yang bermula Jumaat ini di Taman Rekreasi Pantai Rambah, di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan berkata, pelbagai program diatur penganjur seperti kaunter perkhidmatan oleh jabatan dan agensi kerajaan.
Katanya, turut diadakan aktiviti senaman seperti J- Robik, zumba dan taici bagi memberikan peluang orang ramai menyertai aktiviti gaya hidup sihat.
Selain itu terdapat jualan pelbagai produk makanan dan industri kecil dan sederhana (IKS) oleh 50 pengusaha sepanjang festival berlangsung selama tiga hari itu.
“Turut diadakan majlis tahlil dan doa selamat untuk keselamatan penduduk Palestin yang sedang diserang oleh Israel ketika ini dan alunan bacaan qasidah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jefridin berkata, turut diadakan pertandingan memasak, menganyam ketupat, pameran kereta pacuan empat roda, gusti lengan dan pencarian Bintang D’ Kukup.
Golongan kaki pancing juga boleh menyertai pertandingan memancing di pesisiran pantai Rambah yang terkenal dengan pelbagai jenis ikan.
“Kemuncak sambutan ialah pelancaran Brother Motor dan kedatangan Konvoi Motor Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 29 Oktober ini,” katanya. – UTUSAN










