JODOH rahsia Tuhan. Siapa sangka, keserasian pelakon, Sabri Yunus dan Angeline Tan yang ditonton satu Malaysia menerusi watak Wan Ismail Golok dan Lucy dalam sitkom popular Pi Mai Pi Mai Tang Tu satu masa lalu, kini menjadi kenyataan.
Atas ketentuan, persahabatan mereka yang bertitik tolak lebih tiga dekad lalu terangkum dalam ikatan perkahwinan.
14 Oktober menjadi saksi, Sabri dan Angeline atau nama Islamnya, Ardini sah bergelar suami isteri dalam satu majlis serba ringkas yang berlangsung di Perlis.
Dalam kesibukan pasangan pengantin baru ini memenuhi undangan wawancara, keduanya sempat meluangkan masa hadir ke pejabat Media Mulia baru-baru ini untuk berkongsi pengalaman dan cerita selepas berumah tangga.
Menurut Sabri, pernikahan dia dan Angeline diibaratkan mimpi di siang hari. Namun dia bersyukur kerana segala proses dan urusan telah dipermudahkan Allah.
“Persahabatan kami panjang, saling kenal sejak 1992. Ketika itu. Kami langsung tak ada perasaan terhadap satu sama lain, hanya berkawan baik. Jadi, jangankan orang lain, kami sendiri pun macam susah hendak percaya yang kami kini bergelar suami isteri.
“Kami kembali berhubung pada tahun 2020 selepas beberapa tahun terpisah. Aturan Tuhan itu cantik, mempertemukan semula kami dalam drama Tanya Sama Pokok, dengan Angeline memainkan watak sebagai isteri saya dalam drama tersebut menggantikan pelakon lain. Penggambarannya berjalan selama satu bulan di Sungai Besar, Sabak Bernam.

“Ketika itulah secara tiba-tiba, rasa suka terdetik dalam hati masing-masing. Kami yang sebelum itu hanya berkawan, secara tidak sedar, mula melangkah ke fasa yang lebih serius,” kongsinya.
Sabri memaklumkan proses peralihan daripada menjadi kawan baik kepada pasangan kekasih antara dia dan Angeline berlaku sendirinya, tanpa kedua-duanya menyedari mereka, selepas bertahun-tahun bersahabat, akhirnya menjadi pasangan suami isteri.
“Saya tidak mengambil masa lama, hanya mencari ruang untuk memahami perasaannya terhadap saya. Ia terjadi sendiri tanpa perlu saya luahkan kepadanya. Keprihatinan dan kepedulian dia, pada satu peringkat, semakin jelas dan bertambah.
“Tiada pertanyaan (tentang perasaan) yang saya ajukan, hanya melihat dari pandangan mata. Kami semakin seronok berbual antara satu dengan lain. Bermula saat itu kami sering berhubung menerusi telefon. Sehinggalah pada satu masa saya ajukan pertanyaan tentang perkahwinan.
“Tapi Angeline mencadangkan agar kami berkawan dahulu, memastikan saya tidak terdesak untuk berumah tangga. Saya faham, dia perlukan masa. Ini kerana banyak perkara perlu dipertimbangkan,” kongsinya.
ISTIMEWA SABRI PADA ANGELINE
ANGELINE mengakui Sabri memiliki sikap dan perwatakan positif yang mencuri membuatkan dia terpaut hati kepada pelakon tersebut.
Katanya, dia cukup mengagumi kesungguhan dan ketegasan pelakon drama Pok Ya Cong Codei ketika bekerja di set penggambaran.
“Saya anggap dia sebagai seorang abang yang saya kagumi. Cara dia bekerja dan dia selalu memberi tunjuk ajar. Dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu kami ibarat satu keluarga.
“Saya nampak kebaikan pada dirinya. Cara dia menjaga orang sekelilingnya membuatkan saya sangat selesa berkawan dengan dia. Sampai satu tahap, timbul rasa suka kepada Sabri sebagai abang.
“Kami berjumpa hampir setiap hari ketika kami sama-sama mengikuti penggambaran drama Tanya Sama Pokok. Ketika itulah timbulnya perasaan luar biasa kepada dia,” katanya.

Sabri pula, yang ditanyakan perkara sama, memaklumkan terpaut kepada keprihatinan isterinya yang sentiasa menghulur bantuan kepada sesiapa sahaja, dalam keadaan susah dan senang.
“Tidak ada satu perkara yang tidak istimewa tentang Angeline. Dia sejak dulu miliki sifat setia kawan yang sangat tinggi. Kalau saya demam, dia yang usaha carikan Panadol.
“Keprihatinannya itu bukan untuk saya sahaja, bahkan untuk semua yang mengenalinya. Itu istimewanya dia,” kongsi Sabri.
MENGELIRUKAN BUKAN ISLAM
PERKAHWINAN pasangan ini menerima liputan meluas garagara dakwaan seorang pendakwah dari negara seberang yang menerusi ceramahnya menyifatkan pernikahan mereka tidak sah dan berlaku zina.
Angeline memaklumkan tidaklah terganggu dengan dakwaan tersebut namun sedikit risau dengan impak yang berlaku kepada pasangan kahwin campur yang lain gara-gara tuduhan yang dilemparkan terhadap pernikahannya.
“Saya percaya pesanan Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (Dr. Maza) perlu dikongsi untuk kebaikan bersama. Ia bermanfaat kepada yang mahu, masih dan sudah lama berkahwin serta mungkin akan lebih menimbulkan perasaan kasih sayang antara pasangan suami isteri yang lain. Sebab itu kami bersetuju untuk majlis pernikahan kami dipertontonkan secara live di media sosial.
“Tetapi saya sedikit kecewa dengan pendakwah negara jiran berkenaan kerana membuat tuduhan sehingga mencetuskan kekecohan dalam kalangan masyarakat.
“Mujur perselisihan ini berlaku kepada pernikahan kami kerana saya sangat yakin dengan penjelasan mereka yang pakar seperti Dr. Maza dalam memperbetulkan dakwaan yang salah. Itu membuatkan kami tenang dan yakin pernikahan ini sah,” ujarnya.

Angeline tidak menafikan kekecohan yang berlaku telah mengelirukan keluarga dan saudara maranya selain menimbulkan persepsi kurang cantik golongan bukan Islam terhadap pernikahan Islam.
“Ramai saudara mara terdekat menghubungi saya, bertanyakan tentang dakwaan pernikahan kami yang kononnya tidak sah dan berlaku zina selepas ia menjadi tular dan turut dilaporkan dalam akhbar Cina.
“Keadaan ini sebenarnya mencalar imej Islam apabila ada akhbar Cina yang menyifatkan proses pernikahan Islam rumit dan sukar gara-gara dakwaan pendakwah berkenaan.
“Alhamdulillah, keluarga saya lega, gembira sebab menerima penerangan yang jelas mudah difahami daripada mufti dan ulama. Cuma saya terfikir apa akan jadi kalau keadaan ini berlaku kepada pernikahan pasangan campur yang lain,” katanya lagi.










