Jangan salah pilih ADUN minta derma orang ramai - Nizar Najib - Utusan Malaysia

Jangan salah pilih ADUN minta derma orang ramai – Nizar Najib

MOHD. Nizar Najib menghadiri Ceramah Mega Perpaduan Madani di Dataran Simpang Pelangai, Bentong.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: “Jangan salah pilih wakil rakyat yang meminta derma orang ramai untuk menampung perbelanjaan sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)”.

Demikian ingatan oleh ADUN Peramu Jaya, Datuk Seri Mohd. Nizar Najib kepada pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Sabtu ini.

Anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu berkata, beliau bimbang ADUN pembangkang memberikan pelbagai alasan antaranya tiada peruntukkan ketika rakyat memohon bantuan.

“Saya bimbang mereka minta dengan pengundi, untuk beli pejabat, beli kipas, beli pendingin hawa dan sebagainya. Ia berlaku di kawasan lain.

“Saya berharap pengundi Pelangai yang pintar, pilihlah calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizal Abu Adam pada Sabtu ini,” katanya ketika berucap dalam Ceramah Mega Perpaduan Madani di Simpang Pelangai di sini semalam.

Dalam pada itu, Nizar yang juga Pengerusi Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri berkata, beliau terharu dengan sikap penduduk Pelangai yang masih bertanyakan khabar perkembangan bapanya, Najib yang kini sedang menghadapi hukuman penjara.

“Ramai tanya, apa khabar Datuk Seri (Najib), dia sihat? Masih kuat? Alhamdulillah dia masih kuat, masih bertenaga, masih mampu tersenyum walaupun di belakang tirai besi. Dia kirim salam kepada rakan-rakan seperjuangan,” katanya.

Sebaliknya beliau berharap kerajaan dapat membela Najib kerana yakin bekas Perdana Menteri itu telah dianiaya oleh sistem kehakiman negara.

“Tapi kami diasuh untuk setia kepada parti, kepada UMNO dan BN, tetap kami perjuangkan dan tempuhi. Saya harap kepimpinan tidak kecewa ayahanda saya, berilah beliau pembelaan sewajarnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN