PETALING JAYA: Sebanyak RM500,000 disumbangkan Jakel Tekstil dan tudung Ariani kepada Tabung Viva Palestina Malaysia bagi membantu rakyat Palestin yang kini menderita akibat keganasan tentera Israel.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel, inisiatif itu juga merupakan satu pernyataan kebersamaan dan solidariti rakyat Palestin terutama di Gaza.
Katanya, sumbangan disampaikan kepada Pengasas Viva Palestina Malaysia, Puan Sri Norma Hakim.
“Usaha ini merupakan sokongan berterusan kami kepada usaha kemanusiaan di Palestin selain tanda peringatan mendalam bahawa komitmen Malaysia terhadap perjuangan Palestin tetap kukuh dan tidak berbelah bagi.
“Perang Palestin-Israel yang telah menyebabkan keadaan semakin mendesak dengan serangan Israel ke atas kemudahan awam seperti hospital, sekolah, masjid, dan gereja, melanggar undang-undang peperangan antarabangsa. Banyak nyawa terkorban syahid dan cedera dengan hospital yang dibom, bantuan perubatan juga menjadi sukar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Mohamed Feroz, Kumpulan Jakel turut menghulurkan sumbangan berjumlah RM3 juta kepada Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang dikendalikan oleh Kementerian Luar sebagai suatu usaha kolektif melalui Kerajaan Malaysia,
Dalam pada itu, Pengarah Pemasaran Ariani, Datin Seri Farah Haryani Muhammad Philip turut menyatakan keprihatinan atas situasi kemanusiaan di Palestin.
“Kami berharap bantuan ini dapat meringankan beban rakyat Palestin, terutama kanak-kanak yang terkorban,” katanya.-UTUSAN ONLINE










