Isu HRD Corp: Sivakumar mengadap PAC minggu depan

Isu HRD Corp: Sivakumar mengadap PAC minggu depan

MAS ERMIEYATI SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar dipanggil untuk memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung isu pengurusan dana latihan dan keberkesanan Program Latihan Pembangunan Sumber Manusia Bhd. (HRD Corp.) pada 2 November ini.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, susulan daripada prosiding pertama yang diadakan pada 23 Oktober lalu, pihaknya memutuskan bahawa dua lagi prosiding akan diadakan iaitu pada 1 dan 2 November ini.

Katanya, saksi yang akan dipanggil untuk memberi keterangan dan penjelasan pada prosiding 1 November ini ialah wakil dari Kementerian Kewangan dalam HRD Corp.

“Keesokan hari pada 2 November 2023, Khamis, PAC akan mendengar keterangan V. Sivakumar, Menteri Sumber Manusia. Keputusan memanggil kedua-dua saksi ini, adalah disebabkan nama mereka disebut dalam prosiding pertama dan untuk berlaku adil kepada mereka.

“Sehubungan itu, saya mohon supaya saksi-saksi berkenaan hadir bagi membantu PAC melengkapkan siasatan berhubung perkara ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Parlimen hari ini.

PAC sebelum ini mengadakan prosiding berhubung HRD Corp pada 23 Oktober lalu dengan memanggil Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa), Kementerian Sumber Manusia, Datuk Amran Ahmad dan Ketua Eksekutif HRD Corp., Datuk Shahul Dawood.

Ini berikutan isu tersebut tidak dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara, sekali gus PAC menggunakan punca kuasa di bawah peraturan mesyuarat di bawah Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat untuk mengadakan prosiding ini.

Dalam pada itu, katanya, PAC sedang memuktamadkan laporan berhubung Kemajuan Projek Pembangunan Kapal Peronda Generasi Kedua–Littoral Combat Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia bagi tempoh Jun hingga September 2023.

“PAC kini dalam proses penyediaan laporan berhubung isu ini dan kita jangkakan laporan ini akan dapat dibentangkan dalam mesyuarat kali ini,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya