KUALA LUMPUR: Mahu menghargai sokongan pembeli, penerbit dan usahawan, Datuk Rosyam Nor bakal menghadiahkan baucar berilai RM100,000 kepada pelanggan bertuah yang berbelanja di pasar raya, ST Rosyam Mart.
Rosyam berkata, memasuki tahun kelima beroperasi menerusi pembukaan tujuh cawangan di sekitar Lembah Klang, sudah tiba masa dia harus membalas budi kepada para pelanggan setianya.
“Bermula 1 Oktober lalu hingga hujung Disember ini, para pelanggan ST Rosyam Mart dan Sri Ternak Food Mart yang telah mendaftar sebagai ahli menerusi aplikasi ST Card layak memenangi baucar hadiah bernilai RM100,000.
“Tetapi ada satu syarat. Mereka haruslah berbelanja dengan nilai minimum berjumlah RM200 sebulan bagi melayakkan diri menyertai peraduan ini dan ia berlangsung selama tiga bulan.
“Bagaimanapun, barangan subsidi kerajaan seperti beras, minyak masak dan lain-lain barangan yang telah diwartakan kementerian tidak akan diambil kira,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Tambah Rosyam, senarai nama pemenang bulanan yang berjaya mengungguli pertandingan yang dinamakan Peraduan Beli & Menang Baucar Hadiah RM100,000 akan diumumkan di akaun media sosial rasmi kedua-dua pasar raya berkenaan.
“Ada dua kategori baucar hadiah ditawarkan iaitu bagi pemenang utama dan juga pemenang saguhati untuk ketiga-tiga bulan terbabit.
“Ini kali pertama kami menganjurkan peraduan seperti ini semenjak pasar raya mula beroperasi pada 2018.
“Orang ramai yang ingin menyemak senarai lokasi premis cawangan ST Rosyam Mart atau Sri Ternak Food Mart, boleh layari laman sesawang www.sriternak.com atau rujuk laman sosial rasmi mereka di semua platform sedia ada,”kongsinya.










