PETALING JAYA: Mayat ditarik keluar satu demi satu dari bangunan enam tingkat yang runtuh akibat serangan udara Israel.
Demikian rakaman video yang dikongsikan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri dalam satu hantaran di Telegram ‘Terkini dan Sensasi Palestin’, pagi ini.
Menurut rakaman video yang dikeluarkan persatuan PALM, kejadian itu dipercayai berlaku di bandar Rafah yang terletak di selatan Semenanjung Gaza.
Dalam rakaman itu, orang awam dilihat bekerjasama menyelamatkan mangsa yang terlibat dalam runtuhan itu selain kedengaran laungan “Allahuakbar”
“Antara mangsa pembunuhan beramai-ramai ini ialah wanita, warga emas, dan kanak-kanak.
“18 dibunuh dan kebanyakannya kanak-kanak,” tulis hantaran itu.
Setakat ini, lebih 300 rakyat Palestin dilapor maut manakala ribuan lagi tercedera dalam serangan rejim Zionis tersebut.
Serangan Israel itu sebagai respon terhadap serangan mengejut Hamas menerusi Brigade Al-Qassam dan Al-Quds pada awal pagi Sabtu lalu.
Kira-kira 5,000 roket dilancarkan ke arah tanah haram Israel selain menyusup masuk ke beberapa daerah di negara itu yang menempatkan penempatan haram rakyat rejim tersebut.
Operasi yang dinamakan sebagai ‘Taufan Al-Aqsa’ itu dianggap kejayaan besar apabila mengejutkan tentera rejim Israel yang dikatakan memiliki teknologi ketenteraan antara terbaik di dunia.
Israel pula melancarkan Operasi Pedang Besi’ dengan serangan dari pelbagai arah yang kebanyakannya menyasarkan penempatan orang awam di Gaza. – UTUSAN