Garis panduan gangguan seksual dijamin jaga keselamatan pelajar

Garis panduan gangguan seksual dijamin jaga keselamatan pelajar

FADHLINA Sidek dan Rohani Abdul Karim bersama murid-murid yang menerima manfaat menerusi program PROMAK pada majlis pelancaran PROMAK Riang Ria Nutri Peringkat negeri Kedah di AIU, Alor Setar. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memastikan Garis Panduan Salah Laku Buli dan Gangguan Seksual yang diperkenalkan bulan lalu diterjemahkan sepenuhnya selaras dengan matlamat pengenalannya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementerian memandang serius kes pelajar yang menjadi mangsa penderaan seksual kanak-kanak bagi memastikan tahap keselamatan institusi pendidikan di bawah KPM sentiasa terjamin.

Katanya, garis panduan itu selari dengan peringatan bahawa pendakwaan boleh dikenakan ke atas guru sekolah sekiranya menyembunyikan kejadian penderaan seksual kepada mangsa kanak-kanak.

“Kita sememangnya komited dengan kenyataan dan peringatan tersebut dan di peringkat KPM, kita telah beri komitmen sepenuhnya. Saya fikir penting untuk kita peringatkan bahawa KPM tempoh hari sudah meluncurkan garis panduan pengurusan gangguan seksual di peringkat institusi pendidikan.

“Jadi ini bukan sekadar garis panduan, tetapi menunjukkan keseriusan kita memastikan isu berkait rapat gangguan seksual ini benar-benar ditangani di peringkat KPM,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau melancarkan Program Makanan Kesihatan (PROMAK) Riang Ria Nutri anjuran Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) di Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU), hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi BERNAS, Datuk Seri Rohani Abdul Karim; Penasihat Khas Yayasan Albukhary, Datuk Seri Abdul Aziz Shahar; Ketua Pegawai Eksekutif BERNAS, Zulkiflee Abdul Rahman dan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM, Abdul Muie Ngah.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tindakan pendakwaan boleh dikenakan ke atas guru sekolah, jiran dan ahli keluarga kepada kanak-kanak mangsa penderaan seksual sekiranya menyembunyikan kejadian berkenaan.

Tindakan mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) itu adalah ke atas mereka termasuk orang awam yang gagal melaporkan kejadian menimpa mangsa kepada pihak berkuasa.

Bagaimanapun, Azalina mengakui sehingga kini belum ada pihak yang didakwa bagi kesalahan terbabit walaupun ia termaktub di bawah undang-undang berkenaan.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, tindakan tegas mengikut undang-undang di bawah akta berkenaan dilihat sebagai usaha kerajaan melindungi golongan terbabit secara lebih berkesan.  

Justeru, beliau berharap kes berkaitan salah laku dan gangguan seksual di institusi pendidikan dapat dinoktahkan melalui pengenalan garis panduan yang perlu dipatuhi setiap warga kementerian berkenaan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN