Festival Selawat kembali pada siri kedua - Utusan Malaysia

Festival Selawat kembali pada siri kedua

Festival Selawat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Penganjuran Festival Selawat oleh Pertubuhan Amal Kebajikan Ar Rasyid memasuki siri kedua dengan menjangkakan kehadiran sehingga 13,000 peserta dari seluruh negara esok di Shah Alam.

Festival kerohanian itu diadakan bersempena sambutan Maulidur Rasul bagi memperingati perjuangan, pengorbanan serta mengenali perwatakan Nabi Muhammad SAW sebagai nabi dan rasul terakhir yang menyebarkan agama Islam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Khairulnizam Abd. Ghani, Festival Selawat 2.0 dianjurkan selama sehari di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) dengan membawakan pelbagai pengisian termasuk perkongsian khusus untuk wanita.

“Selain memupuk rasa cinta kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW, matlamat festival adalah untuk menimba ilmu dan mengeratkan ukhuwah sesama ummah terutama di Selangor, serta memupuk pembangunan jiwa dan iman melalui majlis bersama para ulama.

“Justeru, program tersebut akan diisi dengan pelbagai pengisian seperti tausiyah (sesi perkongsian) bersama penceramah seperti Ustazah Alwiyyah Assegaf yang bermula pada sebelah pagi khusus untuk peserta wanita yang bertajuk ‘Sayyidah Khadijah: Bukti Pengabdian Cinta’.

“Sesi tersebut akan dihadiri figura terkenal seperti Heliza Helmi, Erma Fatima, Umie Aida, Anita Baharom serta pempengaruh kerohanian popular dalam media sosial,” katanya.

Tambahnya, pada sesi sebelah petang pula ada sesi tausiyah bersama Al Habib Abdullah Abdul Qader Al Habsyi, Al Habib Mahdi Al Hamid, Syeikh Abu Zaki Yusof As Sanggafuri Al Hadhrami, Syeikh Mukhtar Jamel dan Ustaz Hazri Hashim Al Bindany.

Sesi tersebut akan berlangsung pada program utama pada pukul 3 petang yang bermula dengan perarakan masuk ke pentas utama oleh penceramah, tetamu jemputan dan peserta bagi memulakan sesi ‘Maulid Diyaul Lami’ ‘.

“Kemudian akan ada empat sesi tausiyah diselang-selikan dengan tiga sesi qasidah serta solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah. Sesi tausiyah akan disampaikan oleh penceramah jemputan.

“Jadi, orang ramai yang datang digalakkan untuk membawa kelengkapan solat dan ibadah sendiri termasuk botol penyembur untuk wuduk dan sebagainya. Dalam program tersebut juga akan ada 60 gerai jualan dibuka menjual pelbagai barangan ibadah dan makanan,” katanya.

Kata Mohd. Khairulnizam lagi, Festival Selawat 2.0 kali ini dibuat dengan skala besar kerana pada edisi pertama tahun lalu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) kehadirannya melebihi 3,000 peserta termasuk rombongan bas  dari Kedah dan Johor.

“Justeru, kali ini kita bersedia menerima kunjungan daripada peserta dari seluruh negara untuk memeriahkan Festival Selawat 2.0,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya