Enam tahun tunggu rumah siap

Enam tahun tunggu rumah siap

BEBERAPA pembeli berhimpun mendesak pihak bertanggungjawab menyiapkan rumah mereka yang terbengkalai di Projek Perumahan di Taman Desa Idaman, Santong, Paka, Dungun, semalam. – UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Impian pembeli perumahan Taman Desa Idaman, Santong, Paka dekat sini, untuk mendiami rumah sendiri belum tercapai sejak projek tersebut gagal disiapkan enam tahun lalu.

Difahamkan, projek yang merangkumi 130 rumah teres setingkat dan dua tingkat itu dimulakan sejak 2017 dan dija­dual siap dua tahun kemudian.

Bagaimanapun, menurut pem­beli, projek tersebut gagal di­siapkan seperti yang dijanjikan dan hanya dibina antara 40 hingga 70 peratus.

Salah seorang pembeli, Nor Suraya Mohd. Hanafiah, 33, berkata, dia dan suaminya kecewa masih tidak dapat menduduki rumah tersebut meskipun bayaran ansuran pinjaman perumahan telah dilakukan sejak 2017.

“Perancangan kami untuk tinggal di rumah sendiri dari awal kahwin hingga sekarang dah memiliki tiga orang anak masih tidak kesampaian. Dari anak saya yang sulung baru lahir, hingga sekarang dia bersekolah, rumah kami masih tak siap.

“Dah enam tahun kami tunggu. Perjumpaan dengan pihak Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB), mereka beritahu hujung tahun ini rumah akan siap, dan awal tahun depan kami akan dapat kunci, namun sekarang ini saya tengok rumah ini terbengkalai sejak beberapa bulan langsung tiada pekerja, macam mana projek nak siap!,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Nor Suraya berkata, dia terbeban apabila mengeluarkan lebih RM1,000 setiap bulan bagi membiayai kos sewa rumah di Kampung Nyior serta bayaran bulanan pinjaman perumahan tersebut.

Seorang lagi pembeli, Ahmad Faizal Abdul Aziz, 38, berkata, pihak pemaju seharusnya sentiasa memaklumkan kepada pembeli tentang kemajuan projek tersebut.

“Sebagai pembeli, kami memang nak tahu macam mana pembinaan rumah kami. Setiap kali saya melalui jalan berhampiran projek perumahan ini, saya tak nampak pun kerja-kerja pembinaan dilakukan.

“Saya ingatkan, apabila beli rumah di bawah agensi kerajaan, tidak akan berlaku masalah sebegini, tapi sebaliknya berlaku juga,” katanya.

Sementara itu, SPNB menerusi kenyataannya berkata, projek kediaman itu mengalami kelewatan kemajuan kerja disebabkan kegagalan kontraktor terdahulu yang dilantik dan Notis Penamatan Pengambilan Kerja Kontraktor telah dikeluarkan pada 28 Ogos 2023.

Menurutnya, pada masa ini, SPNB sedang dalam proses melantik kontraktor penyelamat bagi meneruskan baki kerja di tapak yang kini telah mencapai 50 peratus.

“Bagi Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC), projek ini dijangka mengambil tempoh masa selama 10 bulan untuk disiapkan bermula awal November 2023, seterusnya dijangka siap dan sedia untuk diserahkan kepada pembeli selewatnya pada September 2024,” menurut kenyataan tersebut. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN