LUMUT: Dua sepupu ditemui lemas selepas bot yang mereka naiki dipercayai karam akibat arus deras di muara Sungai Perak, dekat Kayan, dekat sini tengah hari tadi.
Mereka yang bekerja sebagai nelayan dikenal pasti sebagai Mohamad Afandy Mamosati dan Mohd. Amirul Azril Mohd. Shafiee, kedua-duanya berusia 34 tahun.
Difahamkan, mereka dalam perjalanan membawa bot dari Jeti Sungai Tiram, Lekir, balik ke Kampung Sejagop, mukim Kota Setia, untuk dibaiki selepas bot itu mengalami kerosakan pada bahagian badannya.
Jeti Sungai Tiram, Lekir, terletak di kawasan perairan laut Selat Melaka manakala Kampung Sejagop terletak di tebing Sungai Perak.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.58 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan tiba di Jeti Kayan pada pukul 8.40 pagi.
“Tindakan operasi pasukan ialah membuat pencarian di permukaan di kawasan mangsa dipercayai terjatuh,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa ditemui dalam keadaan terapung oleh nelayan pada pukul 1.45 tengah hari tidak jauh dari kawasan mereka dipercayai terjatuh.
Beliau memaklumkan, mangsa disahkan maut oleh pasukan perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 1.55 tengah hari. – UTUSAN










