KOTA BHARU: Dua mekanik yang disyaki pengedar dadah dicekup bersama 54,000 biji pil yaba ketika sedang menunggu pelanggan dalam serbuan di Jalan Sultan Yahya Petra di sini kelmarin.
Kedua-dua suspek yang berusia 19 dan 28 tahun ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan semasa berada di atas sebuah motosikal pada pukul 9.55 malam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pemeriksaan lanjut menjumpai bungkusan seberat 7.223 kilogram (kg) berada di bahagian depan motosikal berkenaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai sedang menunggu pelanggan.
“Saringan air kencing mendapati kedua-dua negatif dadah. Semakan turut mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau berkait jenayah.
“Kedua-dua suspek direman selama seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, motosikal yang digunakan suspek semasa kejadian turut disita dan polis masih menyiasat sama ada mereka ada kaitan dengan sindiket atau sebaliknya.
“Kedua-dua suspek juga bekerja di bengkel yang sama,” ujarnya. – UTUSAN










