Dua lelaki terlibat kegiatan wang haram ditahan - Utusan Malaysia

Dua lelaki terlibat kegiatan wang haram ditahan

MAZLI Mazlan (dua, kanan) menunjukkan wang palsu RM100 yang dirampas di IPK Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dengan kegiatan mencetak wang haram di negeri ini ditahan polis, Ahad lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan, berkata, suspek berusia 28 dan 33 tahun itu ditahan di rumah sewa mereka di sebuah pangsapuri pada pukul 4 pagi.

Beliau berkata, suspek disyaki aktif menggunakan wang disyaki palsu itu di daerah Dungun sejak setahun lalu bagi mendapatkan tukaran wang tulen untuk kegunaan harian mereka.

Katanya, pihak polis percaya penahanan dua lelaki berkenaan yang juga penganggur telah berjaya menyelesaikan sebanyak 69 kes laporan wang palsu yang diterima di negeri ini sejak 2022.

“Turut dirampas 27 not RM100 pelbagai siri disyaki palsu, dua unit telefon bimbit, satu unit komputer riba dan pencetak, sebuah kereta dan peralatan membuat wang palsu.

“Ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah methamphetamine dan siasatan awal mendapati mereka tiada rekod jenayah lampau.

“Suspek disyaki menggunakan wang palsu itu untuk mendapatkan tukaran wang tulen yang kemudian digunakan untuk pasaran gelap dan membeli rokok,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Tambah Mazli lagi, kedua-dua lelaki berasal daripada Selangor dan Terengganu itu kini ditahan reman selama empat hari bermula 29 Oktober sehingga 1 November.

Kes disiasat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan (KK) kerana menggunakan wang sebagai tulen dan Seksyen 489D kerana memiliki peralatan membuat wang palsu.

Selain itu katanya, kedua-dua suspek turut berhadapan siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Untuk rekod sepanjang 2022 polis Terengganu menerima 38 laporan membabitkan kes wang palsu manakala setakat tahun ini pula 31 laporan.

“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa peka dan memeriksa wang kertas diterima dan segera melaporkan kepada polis jika ada keraguan ke atas wang tersebut,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya