MELAKA: “Saya tidak sangka boleh menang kategori dondang sayang kerana ini kali pertama saya menyanyi irama ini,” demikian kata Sherlyn Wong Yunn Xuan,11.
Sherlyn merupakan murid darjah lima di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bachang yang berpasangan dengan rakan sekelasnya, Ng Chee Hua, 11, dinobatkan selaku juara kategori dondang sayang pada Festival Megah Bahasa di SJKC Pay Pong 1, Krubong di sini.
Katanya, mereka berusaha gigih menyanyikan dondang sayang dengan sempurna walaupun hanya berlatih selama dua minggu bagi menyertai festival berkenaan.
“Sebenarnya irama ini sangat unik dan saya sangat teruja,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Chee Hua berkata, walaupun kali pertama menyanyikan irama itu, mereka dapat menjiwai lagu tradisional Melaka dengan baik kerana mula meminatinya selepas berlatih.
“Mulanya apabila cikgu memilih saya bertanding dondang sayang, saya menolaknya kerana berasakan susah menyanyikan lagu itu. Tetapi apabila saya berlatih, diajar cikgu lama-kelamaan saya berasa keunikan melodinya dan saya rasa tidak susah menyanyikannya,” katanya.
Sementara itu, bagi murid darjah lima Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kubu Melaka, K. Sukhaen, 11, pula, dia memang meminati dondang sayang sejak dari darjah satu.
Dia yang berpasangan dengan adiknya K. Satheash, 10, memenangi tempat kedua kategori berkenaan.
“Saya sebenarnya sangat suka menyanyikan irama ini kerana ia sangat unik dan jarang orang bukan Melayu mengalunkannya,” katanya. -UTUSAN










