PETALING JAYA: Penyanyi dan pengkarya antarabangsa, Yunalis Zarai, berkongsi pengorbanan seorang artis menghabiskan masa berjam-jam lamanya untuk menghasilkan buah tangan terbaik mereka.
Dalam sebuah kapsyen gambar yang dimuat naik di Instagram hari ini, Yuna, 36, turut menyentuh beberapa perkara termasuklah berharap agar semua artis diberi ruang untuk berkarya dan dibayar sesuai dengan naskhah dan kerja keras mereka.
“Kadangkala kami (artis) harap orang tahu kesukaran yang kami hadapi, tapi mestilah orang tak akan tahu sebab kami tidaklah letak kamera di sekeliling kami.
“Cuma, adakalanya saya mahu orang faham keberanian yang kami pertaruhkan di setiap karya. Bagaimana kami luangkan masa 10 hingga 12 jam untuk proses kreatif dan tidak berganjak sampailah kami puas hati mencipta hasil karya untuk dikongsikan kepada dunia.
“Walaupun kami sudah berusaha sekuat itu, tidak semua orang akan meraikan hasil kerja kami,” tulisnya.
Menurut penyanyi yang pernah mendapat pengiktirafan Recording Industry Association of America (RIAA) itu lagi, walaupun kehidupan artis di media sosial dilihat sangat hebat dan gembira, namun artis tetap manusia biasa yang mempunyai kerisauan terhadap karier mereka.
“Artis diminta muat naik gambar yang cantik dan jadi misteri, berpura-pura hidup menjadi artis ini hebat. Tapi saya harap orang dapat melihat bagaimana gembiranya saya bila dapat notifikasi ada peminat baru dan tersenyum sendiri.
“Bagaimana kami gembira bila nombor pendengar di platform penstriman naik atau macam mana sukarnya kami untuk tidur bila memikirkan apa akan jadi di masa hadapan sekiranya tiada lagi yang sudi mendengar muzik kami,” tulisnya.
Di hujung kapsyen, Yuna mengucapkan terima kasih kepada peminat yang sudi membeli tiket konsert YUNAVERSE yang bakal berlangsung pada 22 Oktober di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Lebih menarik lagi, sebelum ini, penyanyi Crush itu turut mengumumkan konsert jelajah Yuna Asia Tour di beberapa kota termasuklah Tokyo pada 16 Oktober dan Singapura pada 18 Oktober ini.
Beberapa hari lalu, Yuna turut menambah satu lagi lokasi konsert jelajah iaitu di Kuching, Sarawak pada 27 Oktober nanti.