KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertikaikan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berhubung larangan menyentuh isu agama, kaum dan raja (3R).
Katanya, beliau tidak pernah melihat mana-mana Ketua Polis Negara yang membuat larangan sedemikian mengenai isu itu sebelum ini.
“Saya pernah di duduk di sana (kerajaan), tapi, saya tak pernah dengar dalam sejarah, Ketua Polis Negara mengatakan tak boleh sebut soal 3R, boleh sebut tapi jangan sebut tentang perkara menyentuh sensitiviti atau perasaan perkauman.
“Jadi, bila Ketua Polis baru baru ini mengatakan jangan sebut langsung, saya faham memang ada Akta Hasutan dan lain-lain, saya fikir kenyataan ini tidak tepat, jadi minta menteri beritahu Ketua Polis, jelaskan ia boleh pasal kita ada hak dan kebebasan bersuara,” katanya semasa sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, jika isu kedudukan kaum Melayu, Islam dan raja tidak boleh disentuh langsung, ia dianggap bercanggah dengan perlembagaan.
“Kita boleh cakap dengan cara baik, jadi kalau tak ada, soal memperjuangkan nasib kaum orang Melayu, takkan itu bercanggah atau mendukung Perlembagaan dan sistem beraja, takkan bercanggah juga.
“Jadi kita nak bercakap pun takut, pasal pihak polis tidak ada SOP (prosedur operasi standard (SOP), jadi siapa sebut kena panggil, saya dah lima kali kena panggil padahal saya tak mengacu sesiapa,” katanya. -UTUSAN