Dewan Rakyat: SKMM sekat lebih 3,000 hantaran dalam media

Dewan Rakyat: SKMM sekat lebih 3,000 hantaran dalam media sosial

Teo Nie Ching
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat 3,150 hantaran dalam pelbagai saluran media sosial yang berunsur penipuan dan pemancingan maklumat bagi tempoh 1 Januari hingga 30 September lalu. 

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, sekatan itu melibatkan 2,871 hantaran di Facebook, 254 (WhatsApp), 13 (Instagram), 11 (Telegram) dan satu di TikTok selain 1,471 membabitkan laman sesawang.

Sehubungan itu, katanya, sebagai langkah proaktif dalam penguatkuasaan undang-undang mengenai bahaya ancaman siber, Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) sedang meneliti dan membuat pindaan terhadap beberapa aspek berkaitan perlindungan data peribadi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (Akta 709).

“Memang kuasa SKMM terhad, misalnya untuk kes penipuan kuasa siasatan di bawah polis, tetapi SKMM main peranan penting iaitu kita boleh ambil tindakan apabila dapat informasi daripada polis supaya kita boleh padamkan atau turunkan kandungan berunsur penipuan.

“SKMM akan sentiasa bekerjasama rapat dengan polis untuk memastikan kita boleh memberi bantuan segera kepada mangsa penipuan,” katanya semasa sesi pertanyaan lisan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) berkenaan langkah penguatkuasaan undang-undang mengenai bahaya ancaman siber.

Ini memandangkan penjenayah siber menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menggodam kata laluan, membocorkan maklumat dan menipu pengguna mengakibatkan pelanggaran data serta kerugian kewangan.

Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, antara pindaan Akta 709 yang dicadang bagi mengawal ancaman siber ialah mewajibkan pengguna data untuk melantik Pegawai Perlindungan Data, melaporkan insiden kebocoran data kepada Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi dan meningkatkan kadar denda lebih tinggi kepada Pengguna Data dan Pemproses Data.

Katanya, pada masa ini, Agensi Keselamatan Siber Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang dalam proses penggubalan Rang Undang-undang Keselamatan Siber yang akan menguatkuasakan jenayah siber selari dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau Kanun Keseksaan.

“Selain itu, cadangan peluasan pemakaian tanggungjawab secara langsung juga akan dikenakan kepada Pemproses Data jika berlaku sebarang ketirisan data.

“Dalam masa sama, JPDP dalam perancangan membangunkan garis panduan AI bagi mengawal serta meminimumkan kadar capaian atau gunaan AI berkaitan data peribadi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN