Dewan Rakyat: Projek padi lima musim dalam dua tahun bermula

Dewan Rakyat: Projek padi lima musim dalam dua tahun bermula tahun depan 

Mohamad Sabu
MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan menjangkakan projek menaik taraf sistem pengairan di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bagi melaksanakan projek penanaman padi lima musim dalam dua tahun bermula tahun depan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, projek dengan peruntukan RM3 bilion itu akan dilaksana menerusi konsep kerjasama awam-swasta.

Katanya, projek yang membabitkan pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur penanaman padi di kawasan MADA akan dibiayai sepenuhnya terlebih dahulu oleh pihak swasta. 

Katanya, antara inisiatif projek berskala besar itu ialah pembangunan dan penyelenggaraan 100 blok sistem pengairan tertier, projek pemulihan menyeluruh Empangan Pedu serta pembangunan dan penyelenggaraan skim pemindahan sumber air Jeniang fasa dua.

“Sehingga 30 September lalu, pelaksanaan inisiatif ini dalam peringkat penilaian perolehan melalui kaedah permintaan untuk cadangan (RFP) yang diurus bersama antara unit kerjasama awam-swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, MADA serta pembabitan jabatan lain.

“Bidaan sedang berlangsung dan akan dibayar semula oleh kerajaan kepada syarikat terbabit selepas projek siap,” katanya semasa sesi soal jawab lisan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Hassan Abdul Karim [PH-Pasir Gudang] yang mahu mengetahui garis masa projek naik taraf pengairan itu akan disiapkan.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan akan terus memperkasa sistem pengairan bagi tanaman padi seluruh negara terutama di Sabah dan Sarawak sejajar usaha menjadikan kedua-dua negeri itu sebagai jelapang padi kedua negara.

“Langkah ini selepas kita lihat di negeri utara ini banjirnya berlaku serentak, selalunya pada Disember dan Januari. Oleh itu, kerajaan akan teruskan usaha mendapatkan peruntukan pada masa akan datang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN