KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoal kerajaan mengenai jangka masa pelaksanaan rasionalisasi subsidi yang akan diagihkan kepada rakyat.
Katanya, kerajaan memperuntukkan RM52.8 bilion untuk subsidi dan bantuan sosial dalam Belanjawan 2024, namun, tidak menjelaskan mekanisme dan bagaimana ia dilaksana.
Katanya, sudah pasti rasionalisasi subsidi akan mengambil masa yang lama memandangkan mekanismenya pun masih belum diputuskan.
“Apabila rasionalisasi subsidi dilaksana, apakah langkah kerajaan untuk mengelakkan insiden penyelewengan dan ketirisan? Contohnya di stesen minyak, bagaimana kerajaan hendak menentukan hanya mereka yang layak sahaja boleh membeli petrol bersubsidi?
“Sejauh mana penguatkuasaan dapat dilaksana dengan cekap di seluruh negara untuk mengelak ketirisan dalam agihan subsidi?
“Dengan langkah kerajaan menarik balik subsidi harga ayam dan telur melalui pengapungan harga mengikut pasaran pula, saya bertambah bimbang dengan nasib rakyat.
“Hasil penjimatan subsidi masih belum dapat dinikmati oleh mereka, sedangkan subsidi yang mereka nikmati pada masa ini pula ditarik balik,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut bertanya jika kerajaan membuat kajian menyeluruh bagi menilai kesan pelaksanaan rasionalisasi subsidi.
Jelasnya, kerajaan mesti memastikan ia tidak akan menambah beban ditanggung rakyat walaupun semua pihak bersetuju melaksanakan rasionalisasi subsidi bagi memperkukuh kedudukan fiskal kerajaan.
“Mesti ada suatu langkah untuk menampan impak rasionalisasi subsidi terutama subsidi petrol. Kaedah pemantauan dan penilaian subsidi secara lebih menyeluruh hendaklah diwujudkan bagi menilai keberkesanannya dan memastikan harga barangan di pasaran tidak meningkat secara mendadak,” katanya. -UTUSAN










