Dewan Rakyat: Kerajaan pertimbang tapis laman web tawar

Dewan Rakyat: Kerajaan pertimbang tapis laman web tawar khidmat palsu melalui sebenarnya.my

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan mempertimbangkan cadangan menapis laman sesawang yang menawarkan perniagaan atau perkhidmatan palsu menerusi portal sebenarnya.my, dengan cap pengesahan bagi mengelakkan gejala penipuan berleluasa oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, kementeriannya akan meneliti perkara itu secara teknikal sama ada boleh dilaksana atau sebaliknya.

Hal ini kerana, katanya, pihak tidak bertanggungjawab licik dengan taktik tertentu sehingga menyukarkan proses menapis tawaran palsu itu.

“Satu daripada masalah sering dihadapi menerusi sebenarnya.my adalah apabila ada pihak kononnya menawarkan bantuan (kewangan) RM200 hingga RM1,000 kononnya daripada agensi kerajaan dengan laman sesawang yang mirip laman sesawang kerajaan.

“Tapi, masalah dihadapi apabila ditutup satu sebab ia hanya melibatkan pengekodan atau penukaran pengehosan dan sebagainya. Mereka boleh copy paste laman-laman web ini,” katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan lisan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden [PN-Alor Setar] tentang kesediaan kerajaan mengenal pasti laman web yang menawarkan perkhidmatan palsu dan disiarkan melalui laman web sebenarnya.my untuk makluman awam.

Sementara itu, menjawab soalan Teresa Kok Suh Sim [PH-Seputeh], Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hanya menerima satu aduan berkaitan penipuan pengubahsuaian rumah susulan siasatan dijalankan polis.

“Semakan dibuat mendapati kandungan terbabit tidak lagi wujud atau diturunkan oleh pentadbir laman sesawang berkenaan,” katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN