KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui bimbang dengan situasi ekonomi semasa yang jauh berbeza dengan perkembangan ekonomi tahun lalu di bawah pentadbiran beliau sebagai Perdana Menteri.
Katanya, selepas negara dihambat pandemik Covid-19, ekonomi negara merekodkan prestasi yang positif terutama pada tahun lalu sehingga mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang tertinggi di rantau Asia Tenggara.
“Bagaimanapun, keadaan pada hari ini sangat membimbangkan. Kadar mata wang ringgit terus merudum sehingga mencatatkan prestasi terburuk dalam tempoh 25 tahun.
“Indeks Bursa Malaysia kekal berada sekitar 1,400 mata. Kedua-dua petunjuk ini memberikan gambaran bahawa Malaysia berdepan dengan krisis keyakinan pelabur yang amat serius.
“Saya berharap kerajaan bertindak segera bagi memulihkan kembali keadaan untuk memastikan ekonomi negara bergerak pada landasan yang tepat,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, walaupun reformasi pengurusan kewangan diperkenalkan oleh Perdana Menteri termasuk Akta Tanggungjawab Fiskal 2023, beliau bimbang penekanan yang agresif untuk mengurangkan defisit fiskal akan memberikan kesan kepada rakyat dan ekosistem perniagaan.
“Kerajaan harus memastikan setiap keputusan yang dibuat mesti mendorong kepada kecekapan ekonomi, mesra peniaga dan mesra rakyat. Sebagai contoh, salah satu langkah kerajaan untuk mengawal defisit fiskal ialah memperkenalkan rasionalisasi subsidi untuk mengelakkan ketirisan.
“Ini sekali gus membantu kerajaan untuk mengurangkan beban peruntukan yang terlalu besar untuk subsidi sehingga mencecah RM80 bilion setahun,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan mekanisme yang akan digunakan oleh kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar pada tahun hadapan kerana ia tidak disentuh dalam pembentangan Belanjawan 2024.
“Pelaksanaan subsidi bersasar tanpa mekanisme yang tepat akan menyebabkan rakyat terus terbeban apatah lagi kos sara hidup semakin meningkat,” katanya.
Beliau turut menyatakan kebimbangan terhadap harga ayam dan telur, manipulasi barangan keperluan oleh kartel serta kekurangan bekalan beras yang sepatutnya mempunyai stok penimbal untuk tempoh enam bulan akan datang. -UTUSAN










