KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan belum memanggil bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berhubung projek rundingan terus percetakan buku J-Qaf untuk prasekolah bernilai kira-kira RM80 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan kes itu masih berjalan.
“Kita (SPRM) belum panggil (Dr. Radzi) lagi. Siasatan masih dijalankan.
“Saya serahkan kepada pegawai penyiasat untuk jalankan siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan International Anti-Bribery Anti-Corruption Summit 2023 (ABAC) di sini, hari ini.
30 September lalu, Azam berkata, pihaknya menemui bukti baharu berkaitan siasatan projek berkenaan.
Ini susulan penahanan dua individu termasuk bekas setiausaha politik bekas menteri itu bagi membantu siasatan berhubung projek berkenaan.
Sumber dilaporkan berkata, mereka dipercayai bersubahat dengan bekas menteri kanan itu meminta dan menerima rasuah melalui syarikat suspek kedua daripada kontraktor sebagai balasan meluluskan projek percetakan buku secara rundingan terus.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Dalam pada itu, ditanya sama ada SPRM terbabit siasatan kes pengubahan wang haram membabitkan pengasas bersama dan pemegang saham sebuah syarikat penerbangan, Azam berkata, pihaknya tidak terbabit setakat ini.
“Ia adalah tindakan daripada pihak polis. Siasatan bukan kesalahan di bawah Akta Pencegahan Rasuah 2009,” katanya.
Pengasas bersama dan pemegang saham sebuah syarikat penerbangan bergelar Datuk bersama isteri dan anak lelaki ditahan polis bagi siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Semalam, seorang lagi individu iaitu pemegang saham i-serve direman polis selama lima hari bagi membantu siasatan kes terbabit.-UTUSAN