Dakwa pemilik, ejen hartanah sewa kediaman kepada scammer

Pemilik, ejen hartanah sewa kediaman kepada scammer akan didakwa

RAMLI Mohamed Yoosuf (tengah) ketika bercakap pada sidang media mengenai jenayah penipuan atas talian di Menara KPJ, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran tegas kepada pemilik dan ejen hartanah agar tidak bersekongkol dengan sindiket penipuan atau scammer dalam talian dengan menjadikan kediaman mereka sebagai pusat panggilan atau calling centre.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka ini termasuk melakukan pendakwaan kerana bersubahat.

Kata beliau, semua agen berkaitan sewaan akan dipertanggungjawabkan sebagai rakan sejenayah dan boleh dituduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (penipuan), Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan 109 Kanun Keseksaan (Bersubahat).

“Pemilik premis juga akan dipertanggungjawabkan atas prinsip ‘kenali pelanggan anda’.

“Tindakan ini, kita (polis) ambil bagi membanteras operasi pusat panggilan secara drastik kewujudannya sudah seperti cendawan tumbuh selepas hujan di negara ini.

“Kita akan bertindak lebih tegas kepada pemilik dan ejen yang tidak seharusnya tamak apabila menawarkan harga dua kali ganda terhadap premis dan kediaman yang disewa,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ramli menegaskan, pihaknya tidak akan lagi mendengar alasan tidak munasabah yang merugikan orang ramai kerana polis mempunyai liabiliti undang-undang.

“Sebagai contoh, seramai 20 penghuni dalam satu premis, mana mungkin tidak ada berlaku apa-apa aktiviti yang meragukan.

“Jadi, mereka tidak boleh bagi alasan mereka tidak tahu kepada siapa mereka sewa kediaman mereka,” jelasnya.

Ramli berkata, berlaku peningkatan kes penipuan melalui sindiket pusat panggilan pada tahun ini berbanding dua tahun sebelumnya.

“Bagi tahun ini, seramai 1,160 tangkapan terdiri 791 warga tempatan dan 369 warga asing dengan kerugian RM 883,967 selain hampir 10,000 peranti dirampas.

“Berbanding sebelumnya mencatatkan 643 pada tahun lalu dan 332 jumlah kes tangkapan pada 2021,” jelasnya.

Menurut beliau, orang ramai harus berwaspada dengan taktik scammer yang menjadi trend seiring dengan kemajuan teknologi dan tidak hanya bergantung kepada penguat kuasa semata-mata.

“Masyarakat harus cakna dengan maklumat yang disampaikan oleh pihak polis melalui pelbagai medium penyampaian.

“Jangan berkongsi maklumat perbankan kepada pihak ketiga yang tidak dikenali dan hubungi talian 997 di bawah Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dalam tempoh 24 jam jika anda salah seorang mangsa penipuan dalam talian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya