Cuci parit elak banjir termenung

Cuci parit elak banjir termenung

JENGKAUT digunakan untuk membersihkan parit di Bagan Datuk, Perak bagi mengelak banjir semasa musim tengkujuh. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Penduduk di sini yang kampung mereka dilanda banjir termenung selama beberapa bulan tahun lalu, lega dengan kerja-kerja pembersihan parit yang dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JSP) bagi mengelak kejadian sama berulang.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, JPS menggunakan jengkaut untuk membersihkan parit daripada sisa buangan seperti sampah sarap, rumput, batang kelapa, batang pisang dan ranting kayu yang menyekat aliran air.

Kerja membersihkan parit dijalankan di beberapa buah kampung di Rungkup.

Tahun lalu, beberapa buah kampung mengalami banjir termenung selama beberapa bulan disebabkan air tidak dapat mengalir keluar dari parit yang tersumbat akibat pelbagai bahan sisa buangan.

Ia melibatkan Kampung Selekoh, Sungai Tiang, Sungai Nipah dan Jalan Pasang Api selain menjejaskan bangunan sekolah, tanah perkuburan, kebun kelapa sawit serta kebun pisang.

Seorang penduduk yang rumahnya terjejas banjir termenung tahun lalu, Norman Maizuki, 38, dari Kampung Tebuk Haji Karim berkata, dia lega kerana kali ini persiapan awal dilakukan untuk menghadapi musim tengkujuh dan kemungkinan banjir.

Katanya, dia tidak mahu kejadian banjir tahun lalu berulang yang bukan sahaja menjejaskan aktiviti seharian tetapi menyebabkan banyak peralatan rumahnya rosak akibat terkena air banjir.

“Kejadian banjir termenung tahun lalu masih saya ingat dan masih dirasai kesannya, kerana peralatan rumah seperti perabot, bangku, meja, katil, tilam dan barangan elektrik seperti peti sejuk dan mesin basuh semuanya rosak.

“Banjir termenung disebabkan aliran air di parit tersekat disebabkan ia dipenuhi sampah, ranting pokok, dan pelbagai buangan.

“Usaha membersihkan parit yang dilakukan sekarang dapat mengurangkan risiko banjir termenung,” katanya.

Dia yang juga penanam kelapa berkata, banjir termenung turut menyebabkannya tidak dapat mengeluarkan hasil kelapa dari kebunnya yang dinaiki air.

“Kerana tak dapat dibawa keluar menggunakan kenderaan, saya terpaksa mengangkut buah kelapa tua menggunakan sampan dari dalam kebun untuk ke jalan besar.

“Selain itu banyak buah yang rosak akibat terendam lama dalam air banjir. Saya harap kejadian tahun lalu tidak berlaku lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×