GEORGE TOWN: Ketua Menteri, Chow Kon Yeow seharusnya menyerahkan bukti kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook sekiranya benar terdapat usaha-usaha untuk menjatuhkan beliau ketika ini.
Gesaan itu dibuat Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang berkata, ia supaya parti itu dapat menangani isu terbabit secara dalaman dengan setegas mungkin.
“Sehingga kini, tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan mana-mana pemimpin ataupun ahli parti di Pulau Pinang yang terlibat di dalam usaha untuk menjatuhkan Chow (Kon Yeow) sebagai Ketua Menteri.
“Dakwaan tidak berasas seperti ini hanya akan menimbulkan kekeliruan dan mengalihkan fokus sebenar daripada mentadbir kerajaan perpaduan di negeri ini secara cekap, amanah dan telus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan, Anthony Loke semalam secara terbuka telah menolak dakwaan Kon Yeow bahawa terdapat plot yang dicatur dari dalam dan luar parti untuk menggantikan beliau.
“Anthony Loke memberikan kenyataan tidak pernah timbul isu bagi menggantikan Chow (Kon Yeow) sebagai Ketua Menteri dan ini sepatutnya menoktahkan ura-ura bagi menjatuhkan beliau yang dimulakan secara tiba-tiba oleh Chow (Kon Yeow) sendiri,” katanya.
Dakwaan cubaan menjatuhkan Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang itu kembali berbangkit susulan kontroversi penjualan tanah oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).
Tanah di Batu Kawan itu didakwa dijual kepada syarikat swasta kurang daripada kadar pasaran seperti didedahkan oleh Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang.
Ekoran kontroversi penjualan tanah itu, Kon Yeow seperti dilaporkan akhbar Cina berkata, ada orang ‘dalam dan luar DAP’ merancang ‘mengalahkan beliau’. – UTUSAN










