BN ke hadapan, PN boleh lakar kejutan

BN ke hadapan, PN boleh lakar kejutan

Tiga calon masing-masing daripada PH-BN, PN dan Bebas iaitu Amizar Abu Adam (kiri), Kasim Samat (tengah) dan Haslihelmy DM Zulhasli akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai Sabtu ini. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Barisan Nasional (BN) dijangka mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada Sabtu ini, namun Perikatan Nasional (PN) tidak menolak kemungkinan boleh membuat kejutan merampas kawasan itu.

Hal ini kerana terdapat tiga faktor mempengaruhi kemenangan calon BN dan PN serta Bebas iaitu undi peneroka Felda dan golongan muda serta peratusan keluar mengundi.

Dianggarkan terdapat 7,981 atau 48 peratus undi warga Felda yang membabitkan tiga kawasan tanah rancangan iaitu Sungai Kemasul, Chemomoi dan Sungai Kemahal daripada 16,456 keseluruhan pengundi Pelangai, di samping 7,639 pengundi muda berusia 18 hingga 39 tahun.

Kata sumber dalaman BN kepada Utusan Malaysia, pihaknya yakin menang, namun mungkin majoriti lebih rendah berbanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana masih memiliki sokongan pengundi tegar khususnya dalam kalangan generasi pertama Felda dan pengundi saluran satu dan kedua yang dalam lingkungan 54 peratus atau 8,817 pengundi.

Jika separuh daripada jumlah pengundi itu tidak keluar mengundi atau memilih PN, BN mempunyai undi ‘back up’ daripada 2,000 pengundi Pakatan Harapan (PH) termasuk kaum Cina dan India yang dikatakan ingin mengundi calon BN, Datuk Amizar Abu Adam.

“Kita yakin menang apabila Felda Chemomoi yang mempunyai pengundi paling ramai iaitu 3,122 pengundi merupakan kubu kuat BN di samping peralihan undi pengundi PH. Namun ia bergantung kepada peratusan keluar mengundi, kalau rendah ia memberi kelebihan kepada calon BN,” katanya.

Pada PRU15, calon BN, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun menang dengan 7,308 dalam pertembungan empat penjuru manakala calon PN, Kasim Samat pula meraih 3,250 undi dan calon PH, Ahmad Wafiuddin Shamsuri (2,032) serta calon Pejuang, Isa Samad (65 undi).

Bagaimanapun, PN yang sekali lagi mempertaruh Kasim atau Cikgu Kasim dikatakan boleh membuat kejutan dengan bersandarkan tiga faktor iaitu pengundi tegar dalam kalangan ahli Pas, undi protes ahli UMNO dan pengundi muda termasuk 2,000 yang tinggal di luar Pelangai.

Malah sumber dalaman PN berkata, mereka yakin kejutan menerusi gelombang undi orang muda walaupun kebanyakan program ceramah dan aktiviti kempen mereka hambar dan tidak menerima sambutan penduduk Pelangai.

Malah PN dikatakan menerima sokongan pengundi senyap atau silent voter khususnya dalam kalangan 7,639 pengundi muda yang menyatakan mahu memangkah Kasim sebagai wakil rakyat baharu di Pelangai dan boleh beri tekanan kepada BN.

“Kita yakin dapat sokongan pengundi muda dan anak Pelangai yang tinggal di luar bandar dan negeri di samping undi Felda yang kini bukan lagi kubu kuat BN,” katanya.

Bagaimana kedua-dua sumber dalaman itu mengakui setakat dua hari menjelang Hari Pengundian PRK DUN Pelangai, mereka masih berada dalam kedudukan 50-50 setelah masing-masing sukar mengenalpasti kecenderungan pengundi muda yang dikatakan hanya membuat keputusan ketika tiba pusat pengundian.

Selain Amizar dan Kasim, terdapat seorang calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN