Bila masa saya jual mahal? - Nadia Brian - Utusan Malaysia

Bila masa saya jual mahal? – Nadia Brian

NADIA BRIAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARANGKALI memang resam hidup wanita bergelar janda. Ada sahaja pertanyaan orang mengenai hasrat untuk kembali mendirikan rumah tangga.

Ada wanita memilih untuk lekas-lekas kembali bergelar isteri orang, ada pula yang selesa untuk bersendirian dahulu dan ada juga yang seakan sudah serik untuk mengabdikan diri dalam sebuah institusi perkahwinan.

Pun begitu, memilih jalan untuk kekal solo selamanya bukanlah langkah terbaik yang dirasakan pelakon cantik, Nadia Brian.

Kata aktres kelahiran Kangar, Perlis ini, dia sering membayangkan bakal kembali bergelar seorang isteri suatu hari nanti namun mungkin sahaja jodohnya masih belum tiba.

Malah, untuk melabelnya sebagai seorang wanita yang jual mahal juga tidak wajar kerana katanya, sejak melalui fasa perceraian sekitar dua tahun lalu, hatinya tidak pernah tertutup untuk mengenali mana-mana lelaki.

“Salah jika ada yang menganggap saya jual mahal untuk kenal dengan mana-mana lelaki lain. Bila masa pula saya jual mahal? Sebenarnya, saya ini seorang yang sangat sibuk dan tak ada kesempatan untuk berjumpa atau ‘dating’ dengan mana-mana lelaki.

“Boleh dikatakan, banyak juga kerja pada waktu ini. Saya pun tak pernah sepi dari terus berdoa supaya dipertemukan jodoh. Jadi nak kata saya menyekat orang yang nak kenal dengan saya itu, tidaklah.

“Bahkan boleh dikatakan, saya memang mencari,”katanya sambil tertawa kecil ketika ditemui Utusan Malaysia dalam sebuah acara hiburan baru-baru ini.

Nadia yang sedia dikenali dengan personalitinya yang peramah dan ceria turut berkongsi cerita bahawa dia juga sering mendapat kiriman bunga daripada peminat misteri.

“Saya tak tahulah siapa yang bagi jambangan bunga itu. Tak pernah tertulis namanya siapa pada kad atau apa-apa. Saya anggap mungkin dia meminati saya sebagai seorang artis.

“Sebelum ini pun ada juga. Sebenarnya, saya pun teringin juga nak tahu dan kenal siapa gerangan orang di sebalik kiriman-kiriman bunga ini. Misteri sungguh, “katanya.

Teringin punya anak

Melewati tangga usia 32 tahun, bohong sekiranya dia tidak pernah terfikir mahu membina sebuah keluarga dan mempunyai anak.

Bagi Nadia, meskipun begitu, kenyataan ini bukanlah bermaksud dirinya seorang yang terdesak untuk ‘menyapu’ mana-mana sahaja lelaki atas dasar, ‘aku perlu segera berkahwin’.

Tegas aktres ini, dia tetap dengan pendiriannya untuk berhati-hati dalam memilih calon suami meskipun dia terbuka menyatakan bahawa dia senang berkawan dengan sesiapa sahaja.

“Memang betul, saya senang berkawan dengan sesiapa saja yang nak mengenali. Mana-mana yang saya berkawan, saya terus jelaskan awal-awal, ia tidak bermakna kita mempunyai hubungan cinta.

“Selepas bercerai, saya pun kena berhati-hati untuk mengatur langkah ke hubungan seterusnya selepas ini. Iyalah, kalau boleh, saya nak lelaki yang serasi dengan diri ini. Paling penting, bukan suami orang!

“Saya tak nak jadi penyondol atau disondol. Tak mahu hubungan itu mendatangkan masalah di kemudian hari. Jadi sesiapa yang nak berkawan dengan saya, kena siap-siap jelaskan status diri,”katanya.

Dalam pada itu, kata Nadia, dia tidak menolak andai dikurniakan jodoh dengan lelaki berstatus duda atau bahkan jika individu itu mempunyai anak.

Katanya, lebih baik berjodohan dengan duda yang mempunyai anak daripada dipertemukan dengan lelaki buaya darat yang menjadikan wanita mangsa mereka.

“Duda ada anak? Saya okey sahaja. Janji dia boleh hormati saya dan keluarga, dapat jaga saya dengan baik dan bertanggungjawab.

“Asalkan tak ada komitmen dengan wanita lain kecuali anak. Sebenarnya saya pun seorang yang sukakan budak-budak, jadi tak ada masalah kalau ada anak tiri sekali pun,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN