SEREMBAN: Penganjuran program solidariti dan perhimpunan bagi menyokong rakyat Palestin oleh pelbagai pihak di negara ini mendorong kepada peningkatan permintaan terhadap barangan yang berkaitan perjuangan kebebasan Palestin seperti bendera, mafela dan bandana.
Seorang penjualnya, Mohd. Sam Mhmad Tahar, 36, berkata, permintaan terhadap semua barangan itu semakin meningkat apabila pihak sekolah turut mengadakan Minggu Solidariti Palestin.
“Sejak mula konflik ini, permintaan makin lama makin meningkat dan hampir setiap hari saya membuat tempahan daripada pembekal di ibu negara. Ekoran permintaan tinggi di seluruh negara, stok untuk barangan ini juga tidak mencukupi dan saya terpaksa tunggu untuk beberapa hari.
“Sebelum ini saya ada juga buat jualan secara dalam talian namun kerana stok yang agak terhad ketika ini, saya hanya tumpu kepada jualan secara fizikal,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas menyertai jualan but kereta sempena program Palestin Kita Bersama anjuran Masjid Dato’ Klana Petra Mubarak Al-Haj, Sungai Landak, Ampangan di sini.
Mohd. Sam berkata, selain menyertai program-program solidariti untuk Palestin, dia menjual barangan tersebut di masjid-masjid lain terutama selepas solat Jumaat.
“Sambutan sangat menggalakkan, pada mulanya tidak ramai yang membeli bendera Palestin namun kini yang paling laris jualannya.
“Saya jangka sambutan akan berpanjangan kerana saya perhatikan sokongan rakyat Malaysia terhadap penduduk Gaza, Palestin kali ini luar biasa,” katanya yang turut memberitahu sebahagian hasil jualannya akan didermakan kepada tabung-tabung untuk rakyat Palestin yang dibuka di setiap program yang disertainya. – UTUSAN











