Belanjawan 2024: Pulau Pinang turut berada dalam radar pembangunan negara - Utusan Malaysia

Belanjawan 2024: Pulau Pinang turut berada dalam radar pembangunan negara

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyifatkan Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam turut melihat kepentingan negeri itu supaya seiringan dengan arus pembangunan negara.

Sambil menyambut baik Belanjawan 2024 itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ia turut melambangkan Pulau Pinang juga berada dalam radar pembangunan negara.

Sebagai contoh, tambah beliau, adalah berkenaan cadangan pemberian galakan cukai pelaburan semula dalam bentuk elaun cukai pelaburan sebanyak 70 peratus atau 100 peratus.

“Polisi ‘trickle-down economics’ tersebut dijangka bukan sahaja menggalakkan para pelabur meningkatkan pelaburan modal mereka, malah sekali gus meningkatkan lagi produktiviti komoditi, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan merancakkan lagi kitaran ekonomi negeri,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, berhubung hasrat Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mempermudahkan urusan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan domestik, pihaknya berharap tekad tersebut akan mengeratkan lagi kerjasama sedia ada pada peringkat kerajaan negeri.

Jelas beliau, ia dapat dilaksanakan melalui syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (GLC), Invest Penang serta Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di Pulau Pinang.

“Begitu juga dengan cadangan penubuhan Jawatankuasa Tindakan Penyelarasan Pelaburan dan Perdagangan (JTPPP), adalah diharapkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dapat mengambil bahagian secara kolektif,” katanya.

Tambah beliau, berhubung anggaran awal pembinaan aliran transit ringan (LRT) bernilai RM10 bilion menerusi kaedah perkongsian awam swasta (PPP), beliau berharap projek mega tersebut dapat direalisasikan dan juga disegerakan.

“Ia adalah usaha berterusan kerajaan dalam memperkasakan sistem perkhidmatan pengangkutan awam berasaskan rel di Pulau Pinang.

“Ia bukan sahaja akan menyumbang kepada pembentukan modal tetap kasar ditingkatkan, malah sekali gus juga meningkatkan lagi kualiti hidup rakyat serta menyumbang kepada kemerosotan aliran trafik pada waktu puncak kelak,” katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, berhubung peruntukan khusus RM180 juta untuk mewujudkan blok baharu pendidikan khas termasuk di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Perda, memandangkan kini di bahagian Seberang Perai telah terdapat dua sekolah menawarkan pendidikan khas (termasuk SK Alma), beliau berharap sebuah lagi blok pendidikan khas turut diwujudkan di bahagian pulau negeri itu.

“Belanjawan 2024 turut memperuntukkan RM6.8 juta untuk Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Saya berharap Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC), iaitu agensi negeri yang selama ini berkolaborasi dengan pemain industri dalam melatih modan insan dapat dilibatkan demi menjayakan projek perintis TVET Persekutuan demi menenuhi keperluan sektor-sektor ekonomi penting secara keseluruhan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya