Belalai air ‘bangunan dua tingkat’ landa Kampung Pida - Utusan Malaysia

Belalai air ‘bangunan dua tingkat’ landa Kampung Pida

MOHD. Zarul Aswad Zakaria di hadapan rumah keluarganya yang mengalami kerosakan teruk akibat dilanda puting beliung di Kampung Manggol Bongor, Pida 2, Kodiang di Jerlun. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERLUN: Seorang pekerja kontrak mengakui berdepan situasi menakutkan selepas buat pertama kali melihat belalai air setinggi bangunan dua tingkat dalam kejadian ribut di Kampung Pida 2, Kodiang di sini kelmarin.

Menurut Muhammad Shafir Ahmad, 33, insiden pada pukul 2.30 petang itu mengakibatkan rumah yang didiami bersama bapa, Ahmad Mahmud, 80, dan ibunya, Junah Man, 74, rosak teruk setelah angin kuat me­nerbangkan keseluruhan bumbung.

“Kawasan ini selalu dilanda ribut dan angin kuat tetapi pu­ting beliung kali pertama terjadi. Saya berehat di ruang tamu ketika kejadian sebelum ayah panggil keluar kerana angin kuat. Bila keluar ternampak belalai air di sawah belakang rumah seolah-olah menyedut air.

“Menggerunkan memang tak tahu nak cakap macam mana, sampai menggigil dan tergamam sekejap. Saya bawa mak dan ayah berlindung di dapur. Angin kuat terbangkan bumbung rumah, cuma tinggal empat keping zink di bahagian dapur,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, kejadian mengakibatkan ibunya mengalami trauma.

Sementara itu Mohd. Zarul Aswad Zakaria, 30, dari Kampung Manggol Bongor berkata, ribut mengakibatkan rumahnya rosak di bahagian bumbung.

“Mak saudara saya yang saksikan sendiri kejadian itu. Ketika kejadian dia seorang sahaja di rumah. Dia cerita tak pernah lihat angin kuat macam itu. Bagaimanapun alhamdulillah dia selamat,” katanya.

Tambahnya, kerugian yang ditanggung keluarganya dianggarkan antara RM30,000 hingga RM40,000.

Dalam pada itu Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.45 petang melibatkan kejadian ribut dan puting beliung di Kampung Pida 3, 4 dan Kampung Manggol Bongor di sini.

“Kejadian menjejaskan tiga rumah yang didiami 15 penghuni di kawasan tersebut. Tiada mangsa yang cedera dan pihak APM melakukan kerja pemantauan serta pembersihan di kawasan terlibat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN