Bekalan beras putih tempatan di Perlis dijangka pulih seminggu lagi - Utusan Malaysia

Bekalan beras putih tempatan di Perlis dijangka pulih seminggu lagi

RAZALI Saad (kiri) melakukan pemantauan di sebuah kilang pemborong bagi meninjau situasi semasa beras putih tempatan di Batas Liku, Arau, Perlis hari ini.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Bekalan beras putih tempatan dijangka kembali pulih dalam tempoh seminggu selepas kerajaan mengambil inisiatif melaksanakan Program Khas Beras Putih Tempatan (PKBPT) di seluruh negara bermula sejak September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad berkata, menerusi pemantauan yang dilaksanakan, pihaknya mendapati bekalan beras putih tempatan di peringkat pemborong dilihat mencukupi untuk diagihkan kepada peruncit sekitar Perlis.

Katanya, Kawalselia Padi dan Beras (KPB) kini juga sedang giat membuat agihan beras putih tempatan dan tiada sebarang had ditetapkan kepada pemborong atau pengilang untuk memproses serta mengedarkan bekalan berkenaan.

“Bagaimanapun, pengeluaran dan pengedaran beras putih tempatan ini masih perlu mengikut lesen yang dikeluarkan oleh KPB dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Sebagai contoh, jika pemborong itu mempunyai lesen untuk menyimpan stok beras putih tempatan sebanyak 500 tan metrik, mereka boleh menambah bekalan sekiranya stok berkurangan mengikut had dibenarkan dalam lesen dengan mendapatkannya daripada pengilang di Perlis atau Kedah,” katanya selepas mengadakan tinjauan ke kilang pemborong beras di Batas Liku di sini hari ini.

Antara agensi yang turut sama dalam tinjauan berkenaan adalah terdiri daripada KPB negeri dan KPDN negeri.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan sebelum ini mengumumkan program PKBPT akan dilaksanakan melalui dua fasa bermula 8 September dan 15 September lalu.

Langkah intervensi menerusi program ini merupakan usaha kerajaan bagi memastikan bekalan beras putih tempatan dapat memenuhi keperluan pengguna dan menjamin kestabilan bekalan di pasaran.

Dalam pada itu, Razali berkata, buat masa ini, Perlis mempunyai sebanyak lima pemborong yang berperanan bagi mengedarkan bekalan beras putih tempatan buat peruncit sekitar negeri ini.

“Kita menjangkakan dengan langkah intervensi yang dilaksanakan kerajaan ini akan dapat membantu memulihkan kembali bekalan beras putih di pasaran dalam masa terdekat.

“Apa yang menjadi permasalahan sebelum ini adalah disebabkan kekurangan beras putih tempatan di kedai-kedai sekitar negeri ini dan menyebabkan gangguan bekalan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya