ALOR SETAR: Kejadian ribut dan puting beliung yang melanda Kodiang di Jerlun hari ini mengakibatkan beberapa rumah mengalami kerosakan teruk terutama pada bahagian bumbung.
Menurut seorang penduduk Marwan Kassim, 40, kejadian pada pukul 3.45 petang itu mengakibatkan kerosakan pada rumah dan bengkelnya yang terletak di Kampung Pida 2, Manggol Bongor di Kodiang.
“Pertama kali saya tengok kejadian ini depan mata dan saya tergamam apabila melihat angin berpusing-pusing. Saya sempat merakam video kejadian itu sebelum pusaran angin menghala ke arah bengkel dan saya berlari menyelamatkan diri.
“Akibat kejadian itu saya mengalami kerugian setelah jentera membaiki kereta dalam bengkel itu rosak selain peralatan elektrik di rumah dengan anggaran RM40,000,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, kejadian ribut agak buruk yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 10 rumah di kampung berkenaan rosak teruk.
“Namun saya bersyukur kerana tiada kecelakaan yang mengakibatkan nyawa kerana kejadian itu,” katanya.
Dalam pada itu menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada penduduk di Kampung Pida 3 dan 4 pada pukul 3.45 petang.
“Tiada mangsa yang cedera dan keadaan terkawal. Pihak APM membuat pemantauan serta membantu membersihkan kawasan terjejas,” katanya. –UTUSAN










