PETALING JAYA: Pelakon, Badrul Muhayat, 55, mengadu penat dan perlu rehat sebelum disahkan meninggal dunia pagi semalam.
Perkara itu dimaklumkan isteri, Norhayati Zulkapli, 50, kepada pelakon Anne Abdullah yang merupakan antara individu terawal yang dimaklumkan tentang pemergian pelakon itu.
“Saya difahamkan arwah tidak menunjukkan sebarang tanda dia akan pergi, malah pada malam sebelumnya dia berkelakukan normal, ceria dan bergelak ketawa sepanjang makan malam.
“Namun isterinya ada memaklumkan arwah sebelum tidur mengadu penat perlukan rehat. Tak sangka esoknya dia sudah tiada,” kata Anne semalam.
Arwah disahkan meninggal dunia selepas beberapa kali cuba dikejutkan isterinya pagi semalam. Khabar duka itu dikongsi Anne di Facebooknya.
Menurut pelakon itu, Badrul pergi ke Pulau Pinang bersama beberapa artis tempatan seperti Aida Aris untuk menyertai acara perniagaan di negeri tersebut.
“Paramedik telah dipanggil dan telah melakukan prosedur yang perlu. Namun Badrul disahkan sudah tidak bernyawa,” kongsinya.
Dalam pada itu, bekas isteri arwah, Julia Daud yang kini menetap di Ipoh, Perak mengakui terkejut dengan berita pemergian arwah.
“Sebelum arwah ke Pulau Pinang, dia ada datang untuk membawa anak-nak keluar bersiar-siar,” kongsinya.
Sebelum ini arwah pernah mendirikan rumah tangga sebanyak dua kali namun gagal mempertahan perkahwinannya.
Badrul bernikah kali ketiga bersama Norhayati pada 18 April lalu. Arwah pernah merancang untuk mengadakan majlis resepsi kecil-kecilan pada Disember ini.
Arwah mencipta nama menerusi filem Harry Boy dan pernah membintangi dalam lebih 12 filem serta 37 buah drama. –UTUSAN











