Baca puisi sambil bersilat - Utusan Malaysia

Baca puisi sambil bersilat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

SIAPA sangka minat membaca puisi sejak berada di tingkatan dua lagi menjadikan Mohd. Norazizi Samsudain, 32, begitu mencintai kesusasteraan Melayu itu sehingga ke hari ini.

Buktinya, beliau menyertai Persatuan Komuniti Buku Pengkarya Johor di Tangkak yang aktif menghasilkan koleksi buku seperti analogi dan penulisan kreatif.

Graduan Sarjana Pengajian Melayu (Bahasa Melayu), Universiti Malaya ini memberitahu, kelab dianggotai lebih 100 ahli itu turut kerap turun ke lapangan bagi menarik minat generasi muda menyemarakkan aktiviti sastera.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gambir, Tangkak, Johor ini berkata, kesempatan itu perlu dimanfaatkan sejajar program membudayakan Bahasa Melayu dan memperkasakan Bahasa Inggeris yang dilaksanakan di sekolah sejak 2010.

“Saya banyak bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mendedahkan kesusasteraan Melayu kepada murid sekolah. Sebagai pendidik, kita tidak boleh fokus akademik semata-mata.

“Sebaliknya perlu memberi penekanan dan mencungkil bakat murid dalam seni persembahan puisi yang secara tidak langsung memupuk skil komunikasi mereka,”katanya sewaktu ditemui pada pertandingan akhir Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), baru-baru ini.

Beliau merangkul juara pada Sayembara Puisi Artistik Hari Malaysia anjuran bersama DBP dengan Kumpulan UMW Holdings Berhad.

Tegas Mohd. Norazizi, bagi menarik minat anak muda terhadap seni warisan Melayu itu, NGO seperti Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dan
Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi), perlu memainkan peranan penting dan menyantuni pelajar.

“Sebagai contoh, persatuan mungkin boleh menganjurkan pertandingan, bengkel atau aktiviti berkaitan kesusasteraan Melayu menerusi karnival bahasa di setiap daerah atau negeri,” katanya.

SAYEMBARA PUISI

Sajak bertajuk Kemerdekaan Ini membawa tuah buat Mohd. Norazizi apabila muncul juara sekali gus menewaskan 14 peserta lain.

Beliau membawa pulang piala pusingan Seri Pemuisi, anugerah platinum serta wang tunai RM2,000.

Lebih manis apabila itulah kali pertama Mohd. Norazizi menyertai pertandingan seumpama itu.

Mohd. Norazizi, menterjemahkan puisi nukilan R.Hamkama menerusi konsep eksperimental dengan mengenakan tanjak Pancung Tak Bertanya sebagai terjemahan kepada ketegasan pemimpin terdahulu.

Kongsinya, sejarah tanjak itu direka khas kepada Deng Sedili Pajung Luwuk atau Tan Lela Putera Pancung Tak Bertanya (kerabat diraja Bugis yang datang ke Perak pada 1740) kerana beliau boleh menjatuhkan hukuman ke atas pesalah tanpa bertanya kepada sesiapa termasuk sultan.

Pemakaian baju layang berwarna biru lembut dan pakaian dalam berwarna hitam pula menterjemahkan kebimbangan pejuang terdahulu tentang keadaan masa kini, serta dilengkapkan dengan Sampin Ikatan Pancung yang dahulu hanya dipakai oleh golongan kerabat diraja.

“Semasa persembahan, saya mengikat kain merah panjang pada bahagian pinggang untuk menunjukkan perjuangan pahlawan terdahulu yang bermandi darah. Kain putih panjang untuk menunjukkan harapan kepada generasi kini supaya menghargai nikmat kebebasan.

“Silat dipersembahkan simbolik kepada cabaran menggapai kemerdekaan tanpa melibatkan sebarang senjata,” katanya yang mengilhamkan sendiri konsep busana tersebut.

Mengulas mengenai sajak patriotik disampaikan, katanya rangkap pertama menjelaskan perbandingan zaman dahulu dan sekarang yang memberikan makna begitu mendalam sehingga membuatkan dirinya larut dalam emosi.

“Rangkap kedua menyeru generasi sekarang agar menjaga kemerdekaan yang sudah terbina kerana ia adalah asas kemajuan sesebuah negara. Untuk menjiwai puisi
ini, saya perlu banyak buat latihan serta memahami puisi yang disampaikan dengan menghubungi penulis asal.

“Mimik muka pula memainkan peranan sangat penting supaya penonton terkesan dengan penyampaian kita,” katanya yang turut menatang arca sambil dibantu muzik dan video latar semasa pertandingan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya