KOREA SELATAN: Agensi hiburan YG Entertainment telah mengumumkan kumpulan penyanyi wanita terbaharu, Babymonster, bakal debut pada November tahun ini.
Keputusan itu membuatkan Babymonster debut empat bulan lewat daripada perancangan asal pada September.
“Kami berharap agar peminat faham bahawa kumpulan ini akan debut sedikit lewat berbanding September seperti yang diumumkan sebelum ini.
“Semua persiapan sudah dilakukan. Kami akan terus bekerja lebih pantas untuk memastikan Babymonster akan debut pada November,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, timbul kontroversi membabitkan ahli kumpulan itu yang dikatakan sangat muda untuk debut iaitu pada usia 14 tahun.
Menjawab khabar angin tersebut, YG Entertainment turut mengesahkan bahawa kumpulan itu bakal debut dengan tujuh anggota asal seperti perancangan awal iaitu Ahyeon, Ruka, Chiquita, Haram, Pharita, Rora, dan Asa.
Kini, masing-masing sedang giat berlatih untuk koreografi single utama.
Selain itu, penggambaran untuk video muzik pertama kumpulan itu akan dilakukan Oktober ini.
“Kami sangat berhati-hati memilih lagu pertama untuk debut demi memberikan sebuah karya yang terbaik kepada pendengar,” tulis kenyataan akhbar itu lagi.
Babymonster diramal bakal mengembalikan semula gaya hip-hop ala-ala 2NE1 dan Blackpink yang boleh menggoncang industri hiburan Korea Selatan.










