Anwar rasionalisasi subsidi, selamatkan kewangan negara - Utusan Malaysia

Anwar rasionalisasi subsidi, selamatkan kewangan negara

Anwar Ibrahim menunjukkan beg menyimpan dokumen Belanjawan 2024 sebelum dibentangkan di Parlimen semalam. – utusan/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia memulakan usaha mengurangkan sub­sidi tahun depan, kali pertama dalam berdekad kerajaan pe­merintah menangani perbelanjaan yang menjadi punca kepada ‘ketempangan’ kewangan ne­gara selain ketirisan berbilion ringgit.

Keputusan Putrajaya itu ber­tujuan menyeimbangkan per­be­­­lan­jaan negara selepas pe­nga­­­gihan pelbagai subsidi men­­cecah le­bih RM80 bilion tahun ini ber­banding unjuran awal RM63 bi­lion.

Pemberian subsidi dan ban­tuan yang dilaksanakan sejak enam dekad lalu menyebabkan defisit kewangan kerajaan terus melebar manakala pendapatan tidak berkembang sepantas dijangka bagi menampung perbe­lanjaan.

Kesan subsidi diburukkan la­­gi apabila hutang dan liabiliti negara melepasi paras RM1.5 trilion, sekali gus memberikan tekanan tambahan kepada usaha mengurangkan defisit negara.

Sebahagian besar subsidi di­pe­r­untukkan untuk minyak, elek­­­trik dan beberapa bara­ngan asas.

Pem­berian subsidi ju­ga di­dakwa menguntungkan go­lo­ngan kaya, ter­dedah kepada ke­­­tirisan dan pe­nipuan serta di­nikmati warga asing.

IMBUHAN

Pada masa lalu, pemberian sub­­sidi digunakan sebagai im­bu­han untuk rakyat me­ne­rus­kan sokongan kepada se­sebuah kerajaan.

Dalam Belanjawan 2024, ke­rajaan memperuntukkan RM52.7 bilion bagi subsidi dan bantuan berbanding RM64.2 bilion tahun lalu. Bagi mengu­rangkan subsidi, Putrajaya akan melaksanakan subsidi bersasar, menaikkan tarif elektrik kepada golongan mampu dan rasionalisasi subsidi diesel.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemberian subsidi tidak terkawal telah memberi kesan negatif kepada perbelanjaan negara dan ia harus ditangani bagi memastikan kewangan negara stabil.

Katanya, pelaksanaan sis­tem subsidi pukal memanfaatkan golongan elit dan maha kaya sedangkan kebijaksanaan menguruskan ekonomi harus mengarah kepada pertumbuhan dan pemerataan ekonomi

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dengan usa­ha memperbaiki ketirisan subsidi, hasil dapat diagihkan kepada rakyat termasuk kenaikan upah golongan pekerja.

“Kita harus melakar dan menghayati dengan memper­baiki ketempangan dalam sistem ekonomi negara.

HUTANG

“Keterlanjuran lalu menga­ki­batkan hutang dan liabiliti negara menjangkau RM1.5 trilion atau 82 peratus kepada KDNK. Bayaran khidmat hutang sahaja dijangka mencatat RM46.1 bi­lion ringgit atau 15.2 peratus da­ripada hasil 2024.

“Hanya dengan mengurangkan defisit dan tanggungan, kerajaan dapat mengembalikan kedudukan fiskal negara yang mampan,” katanya ketika membentang Belanjawan Madani Kedua di Dewan Rak­yat semalam.

Rasionalisasi subsidi sudah dijangkakan apabila Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan 11 bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) menyatakan formula subsidi yang dilaksanakan ketika ini akan memberi kesan negatif berpanjangan kepada negara.

Semalam Anwar membentangkan Belanjawan 2024 se­­lama dua jam 35 minit mem­babitkan peruntukan se­banyak RM398.8 bilion, de­ngan RM303.8 bilion untuk mengurus manakala RM90 bi­lion bagi pembangunan selain RM2 bilion simpanan luar.

Peruntukan pada 2024 le­bih tinggi berbanding RM388.1 bi­lion yang diperuntukkan da­lam Belanjawan 2023 yang membabitkan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus dan RM99 bilion bagi pembangunan.

Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan terus menjadi dua penerima terbesar dengan RM58.7 bilion dan RM41. 2 bilion tahun depan berbanding RM55.2 bilion dan RM36.3 bilion tahun lalu.

MENGECIL

Defisit kewangan negara dijangka mengecil kepada 4.3 peratus tahun hadapan.
Perbelanjaan negara seba­nyak RM390 bilion itu akan dibiaya sebanyak 44,4 peratus mene­rusi cukai pendapatan, 21.9 peratus pinjaman dan penggunaan aset kerajaan, 16.2 peratus hasil bukan cukai dan 14.9 peratus cukai tidak langsung.

Bagi menampung belanja­wan 2024, kerajaan menaikkan kadar cukai perkhidmatan kepada lapan peratus berban­ding 6 peratus, meluaskan skop perkhidmatan bercukai kepada perkhidmatan logistik, pembrokeran, penajajaminan dan karaoke, memperkenalkan cukai keuntungan modal 10 peratus, serta cukai bara­ngan bernilai tinggi 5-10 peratus.

Anwar yang kali kedua mem­bentangkan belanjawan sejak menjadi Perdana Menteri menegaskan bahawa Belanjawan 2024 tetap menumpukan kepada kos sara hidup rakyat selain menangani masalah peningkatan barangan keperluan asas.

Ekonomi negara juga dijangka berkembang pada 4-5 peratus tahun hadapan manakala perangkaan lain juga dijangka positif.

“Dengan pembaharuan Eko­nomi Madani yang bakal dilaksanakan, kerajaan yakin untuk mencapai pertumbuhan menghampiri lima peratus,” kata Anwar.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN