PETALING JAYA: Anugerah 100 Most Influential Young Entrepreneurs (100MIYE) menyasarkan lebih 500 penyertaan usahawan muda dalam penganjuran buat kali kelapan tahun ini.
Pengerusi Penganjur 100MIYE, Datuk KK Chua berkata, anugerah itu mengiktiraf usahawan muda di negara ini yang memenuhi kriteria seperti kreatif dan inovatif serta mempunyai semangat keusahawanan dalam pelbagai bidang yang mereka ceburi.
Katanya, untuk anugerah tahun ini, pihaknya mahu meletakkan 100MIYE pada tahap yang lebih tinggi iaitu dengan merangkumi kemahiran dan gaya pemikiran usahawan.
“Bagi membantu usahawan menuju ke arah itu, kami akan mengadakan konvensyen usahawan Bumiputera untuk menggandakan lagi kejayaan perniagaan mereka.
“Kami juga mahu menjadikan mereka komuniti yang saling membantu menerusi rangkaian hubungan (networking) masing-masing dengan bertukar pendapat bagi melahirkan idea baru,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Tambah beliau, antara kriteria kelayakan pencalonan 100 MIYE adalah calon terbuka lelaki atau perempuan yang berumur di bawah 45 tahun, berjawatan Ketua Pegawai Eksekutif atau Pengarah Urusan, berada dalam pengurusan syarikat minimum selama dua tahun dan memiliki kepentingan kawalan majoriti syarikat.
Chua menjelaskan, pencalonan dibahagikan kepada 15 kategori dan antaranya terdiri daripada perkilangan, perkhidmatan serta pembuatan.
Selain itu, perolehan tahunan syarikat pula adalah sebanyak RM3 juta dan ke atas selama tiga tahun berturut-turut. – UTUSAN