LIMA’25 jana RM20 bilion

LIMA’25 jana RM20 bilion

PESAWAT tempur TUDM, Hornet F/A-18D melakukan lintas hormat ketika pelancaran Opening Gambit Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) di Langkawi, semalam. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) edisi ke-17 dijangka merekodkan nilai perjanjian mencecah RM20 bilion atau lebih sepanjang lima hari penganjuran acara dwitahunan berprestij itu.

Jangkaan itu berdasarkan hampir 100 kontrak, memorandum persefahaman (MoU), Surat Niat (LOI), Surat Setuju Terima (LOA) antara kerajaan dan syarikat berkaitan pertahanan berdasarkan penyertaan lebih banyak pempamer berbanding LIMA’23.

Daripada jumlah itu, kira-kira RM11 bilion sahaja dijangka melibatkan pemeteraian perjanjian bagi sektor pertahanan di negara ini.

Dua tahun lalu, LIMA’23 mencatatkan rekod sebagai penganjuran terbesar apabila pelbagai perjanjian pertahanan dan komersial bernilai RM17.4 bilion berjaya ditandatangani.

Daripada nilai keseluruhan itu, perjanjian pertahanan sahaja merekodkan nilai RM10.128 bilion dengan bakinya adalah perjanjian komersial yang dimeterai.

Pada edisi kali ini, terdapat 312 syarikat antarabangsa dan tempatan baharu menyertai pameran berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan pempamer sebanyak 860 syarikat berbanding 548 ketika edisi terdahulu.

Daripada 860 syarikat itu pula, sebanyak 426 syarikat antarabangsa dan 434 syarikat tempatan dari 24 negara termasuk ASEAN dan Eropah seperti China, India, Korea, Amerika Syarikat (AS), Turkiye dan beberapa negara lain.

Kesemua perjanjian itu kebiasaannya bagi menguruskan aset sedia ada milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terutama bagi kerja penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat dan kapal.

Penganjuran LIMA merupakan agenda nasional yang menjadi keutamaan kerajaan dalam merealisasikan iltizam strategik bagi meletakkan Malaysia sebagai hab global dalam perkembangan industri maritim dan aeroangkasa.

LIMA’25 merupakan antara pameran terbesar dalam industri maritim dan aeroangkasa di Asia Tenggara sejak dianjurkan kali pertama pada 1991.

Pameran berprestij di rantau ini bakal mempamerkan aset termaju dan teknologi terkini dalam bidang aeroangkasa dan segmen maritim.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan pembukaan LIMA’25 yang bertemakan Inovasi Hari Ini Pencapaian Masa Hadapan di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) bagi segmen aeroangkasa.

Pada sebelah petang, beliau berkunjung ke Resort World Langkawi (RWL) untuk menyempurnakan gimik perasmian segmen maritim LIMA’25.

Ketika berucap merasmikan LIMA’25, Anwar menyifatkan edisi kali ini jauh lebih berjaya berbanding sebelum ini.

Katanya, penganjuran LIMA’25 mencerminkan komitmen kuat Malaysia terhadap kesiapsiagaan pertahanan, keamanan serantau dan kerjasama strategik dalam menghadapi cabaran keselamatan global yang berkembang pesat.

Kata beliau, kedudukan geopolitik Malaysia sebagai sebuah negara maritim yang dikelilingi Lautan Hindi, Laut China Selatan dan Selat Melaka menekankan kepentingan mengekalkan kesiapsiagaan pertahanan sambil mengekalkan keamanan di rantau ini.

Beliau menegaskan ASEAN sebagai sebuah blok, kekal sebagai tonggak kestabilan serantau justeru Malaysia mengalu-alukan penyertaan kuasa besar termasuk China, India, Korea, Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Eropah dalam LIMA’25.

“Saya perlu nyatakan bahawa mana-mana negara untuk menjamin dan memastikan keamanan mesti ada kesiapsiagaan dan mesti dapat menghargai keadaan yang berubah, teknologi termaju dalam industri pertahanan dan anda telah lihat pada tahun-tahun sebelum ini dalam pameran ini dan LIMA tahun ini, kapasiti yang berubah.

“Daripada laporan saya telah melihat perubahan itu bukan sahaja tidak pernah berlaku sebelum ini, kadar perubahan terutamanya dengan teknologi baharu dan kecerdasan buatan (AI) adalah luar biasa dan atas sebab ini kita mengadakan pameran pertahanan yang dipamerkan untuk kita pelajari, kongsi dan lihat,” katanya.

Tambah beliau, kehadiran negara-negara berkenaan bukan sahaja memberi isyarat menyokong dan membina kerjasama bermakna tetapi juga mencerminkan cita-cita bersama untuk membentuk masa depan berasaskan kemajuan, daya tahan dan kolaborasi.

“Walaupun Asia Tenggara mempunyai reputasi sebagai antara rantau paling aman dan rancak dari segi ekonomi di dunia, mengekalkan keamanan tidak boleh dipandang ringan sebaliknya ia memerlukan pelaburan berterusan dalam keupayaan dan kesiapsiagaan pertahanan bagi berdepan perkembangan global yang tidak dapat diramalkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×