Amanat Sultan Terengganu tadbir berkesan

Amanat Sultan supaya tadbir dengan berkesan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUASANA harmoni. Itulah gambaran yang boleh diberikan terhadap Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 yang dirasmikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu pada 1 Oktober lalu.

Persidangan selama tiga hari itu mencatat sejarah baharu di negeri ini apabila tidak mempunyai pembangkang setelah kese­mua 32 kerusi di dewan tersebut diisi wakil rakyat daripada kerajaan yang mewakili Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Keadaan tersebut menyebabkan perjalanan sidang DUN tersebut tidak cukup ‘panas’ dengan celahan suara pembangkang yang memohon soalan tambahan dan penjelasan terhadap sesuatu isu yang dibahaskan seperti kebiasaan dalam persidangan pada penggal sebelum ini.

Perkembangan tersebut mem­beri keselesaan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli Majlis Kerajaan Negeri pada sesi soal jawab apabila tidak diganggu hujahan pembangkang dalam memberi teguran serta ulasan berkesan.

Kebanyakan soalan dan isu yang diketengahkan oleh wakil rakyat tidak meliputi pelbagai bidang terutamanya melibatkan isu-isu penting untuk kebaikan rakyat manakala jawapan wakil kerajaan pula perkara yang diulang-ulang dalam ucapan retorik sebelum ini.

Peranan semak dan imbang pada persidangan itu didapati kurang berkesan dalam kalangan wakil rakyat lain apabila didapati kurang ‘bersuara’ dalam memberi teguran serta kritikan yang positif.

Bagaimanapun, tidak dina­fikan terdapat isu-isu baharu yang menarik dibangkitkan wakil rakyat dalam persidangan DUN itu. Sultan Mizan ketika berke­nan merasmikan sidang DUN itu menitahkan supaya kerajaan negeri mencari kaedah serta model terbaik dalam sistem pentadbiran agar lebih telus dan efisien sebelum memutuskan sebarang keputusan yang bakal dilaksanakan demi kepenti­ngan kerajaan dan rak­yat berikutan ketiadaan pembangkang di nege­ri ini.

Titah Sultan Mizan lagi, kerajaan negeri perlu mentadbir secara teratur dan berkesan secara kolaborasi menyeluruh di semua peringkat badan-badan kerajaan yang berkepentingan agar keputusan yang dibuat secara cekap dan tepat.

Sementara itu, Ahmad Samsuri dalam ucapan penggulu­ngan sidang DUN itu menyatakan rakyat di negeri ini boleh berperanan sebagai pengkritik bagi memastikan sistem semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan berjalan dengan baik walaupun tanpa kehadiran pembangkang.

Beliau berkata, ini kerana semua rakyat mampu memberi pandangan, ulasan dan kritikan menerusi pelbagai medium baharu terutama media sosial pada pada zaman serba baharu dan canggih ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, Pas dan Bersatu yang bergabung dalam Perikatan Nasional (PN) memenangi kese­mua 32 DUN yang ditandingi. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×