Ahli Parlimen, Timbalan Ketua Bahagian didakwa esok terlibat

Ahli Parlimen, Timbalan Ketua Bahagian didakwa esok terlibat pengubahan wang haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan seorang Ahli Parlimen akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok atas pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Satu sumber mendedahkan, bekas Ketua Penerangan sebuah parti politik itu dipercayai bakal berdepan dengan lebih 15 pertuduhan dengan nilai wang pengubahan wang haram berjumlah kira-kira RM6 juta.

“Ahli Parlimen ini telah dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya hari ini untuk diambil keterangan sebelum dituduh esok,” katanya.

Tambah sumber itu, selain Ahli Parlimen tersebut, seorang Timbalan Ketua Bahagian parti politik sama juga akan dituduh atas kesalahan di bawah Seksyen sama melibatkan nilai wang berjumlah kira-kira RM500,000 di mahkamah sama.

“Individu sama juga akan dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam lusa bagi menghadapi beberapa pertuduhan dengan nilai lebih RM 3 juta dengan kesemua pertuduhan adalah di bawah seksyen sama,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut namun enggan mengulas lanjut. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN