835 graduan KPYPJ terima diploma, sijil hari ini

835 graduan KPYPJ terima diploma, sijil hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Seramai 835 graduan Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ) hari ini menerima diploma dan sijil masing-masing pada Majlis Konvokesyen Ke-24 di Dewan Besar, Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ), di sini.

Daripada jumlah itu,seramai 595 orang merupakan graduan KYPJ manakala 240 ialah graduan Kolej Kemahiran Johor (KKJ) dari tiga buah kolej cawangannya di negeri ini, iaitu Johor Bahru, Muar dan Batu Pahat.

Graduan KYPJ menerima diploma dari 16 program pengajian antaranya pengurusan teknologi, perakaunan, kejuruteraan elektrik, seni bina, reka bentuk dalaman, seni kulinari, pengurusan perhotelan, pengurusan perkhidmatan makanan dan pengurusan sumber manusia.

Graduan KKJ akan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dari tujuh kursus yang dijalankan, iaitu automotif, pastri, pendawaian elektrik, pembuatan makanan, pengurusan pejabat, sistem komputer dan jahitan pakaian.

Sesi penganugerahan diploma dan sijil akan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor, Norlizah Noh yang merupakan wakil rasmi Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Majlis konvokesyen ini juga menyaksikan penganugerahan Penerima Pingat Emas YAB Menteri Besar Johor bagi graduan paling cemerlang KYPJ dan KKJ.
Penerima anugerah menerima dinar emas dan sijil.

Abu Bakar Mohamed Salleh

Ketua Pegawai Eksekutif KPYPJ, Abu Bakar Mohamed Salleh berkata, sejak ditubuhkan 27 tahun lalu, KPYPJ telah berjaya melahirkan lebih 30,000 graduan dalam pelbagai bidang yang kini berada dalam pasaran pekerjaan di dalam dan luar negara.

Beliau berkata, jumlah itu menunjukkan betapa besarnya peranan KPYPJ dalam mendidik lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sekolah, khususnya di negeri Johor menerusi peluang kedua pendidikan yang disediakan sejak lebih dua dekad lalu.

Katanya, proses menaik taraf Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) kepada status kolej universiti menjelang 2027 dapat meningkatkan lagi kualiti pengajian dan kelulusan yang ditawarkan, sekali gus menjadikannya antara institusi pengajian tinggi (IPT) terulung di selatan tanah air.

Beliau juga berharap graduan KPYPJ tidak menjadikan kejayaan bergraduasi sebagai muktamad bagi proses pembelajaran kerana ia perlu diteruskan ke peringkat lebih tinggi selain mempelajari bidang-bidang baharu yang mampu memberi nilai tambah kepada kehidupan.

Abu Bakar juga mengingatkan para graduan KPYPJ supaya mempersiap diri bagi mendepani cabaran era digitalisasi dan Revolusi Industri 4.0 yang menyaksikan sebahagian besar pekerjaan bakal digantikan dengan teknologi automasi termaju yang memberi kesan terhadap pasaran buruh.

Sempena majlis konvokesyen kali ini juga diadakan Festival Konvokesyen (FESKO) selama dua hari bermula di Tapak Ekspo Blok E bermula 8.30 pagi hingga 11 malam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya