SEREMBAN: Pasukan Kelab Bolasepak Negeri Sembilan (NSFC) realistik dengan kekuatan pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini yang telah membuka tirainya semalam.
Ketua jurulatih NSFC, Azzmi Ab Aziz berkata, sasaran pengurusan pasukan yang mahukan skuad kendaliannya berada di kelompok pertengahan Liga Super atau sekurang-kurangnya lebih baik berbanding kedudukan pada musim lalu dilihat boleh dicapai berdasarkan kualiti pemain yang ada.
“Sudah tentu kewangan kukuh boleh membawa kualiti, kewangan terhad yang ada pada pasukan kami tahu tidak dapat membawa pemain yang mempunyai nama besar berbanding pasukan lain.
“Tapi ia bukan alasan untuk kamu mudah mengalah, cuma sudah tentu dengan pemain yang ada kami akan gunakan pelbagai formasi berdasarkan lawan yang kami akan bertemu, kami kena rancang berdasarkan kekuatan lawan.
“Cara kami bermain tidak boleh lebih terbuka, akan lebih bertahan dan melakukan serangan balas, kami akan ke arah begitu. Saya rasa realistik dan bersetuju dengan sasaran pengurusan untuk kami berada di kelompok pertahanan atau lebih baik berbanding musim lepas,” katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Pengenalan Pemain NSFC Musim 2024/2025 di Nilai, di sini semalam.
Ditanya dengan kehadiran tujuh pemain import yang memperkuatkan pasukan Hobin Jang Hobin musim ini, Azzmi berkata, kesemua pemain terbabit dilihat sudah semakin serasi dengan pasukan dan masing-masing mempunyai kualiti untuk membantu NSFC bersaing dengan pasukan lain.
“Seperti Hein Htet Aung (Myanmar) yang bersama Selangor sebelum ini dan Jacque Faye (Senegal) yang bersama saya di PDRM FC. Berdasarkan statistik, pemain seperti Miguel Ángel Junco Martínez (Sepanyol) dan Aliyu Abubakar (Nigeria) juga beraksi baik bersama bersama pasukan mereka sebelum ini, jadi saya yakin mereka boleh berikan aksi serupa bersama NSFC,” katanya.
Selain itu, NSFC turut mempertaruhkan tiga pemain import dari Asia Timur iaitu, Takumi Sasaki (Jepun) dan An Sang Su serta Lee Kwanghui (Korea Selatan).
NSFC akan memulakan aksi Liga Super bertemu pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) di gelanggang lawan pada 18 Mei ini.-UTUSAN.










