Pemilik, penyelaras syarikat dituduh kemuka dokumen palsu - Utusan Malaysia

Pemilik, penyelaras syarikat dituduh kemuka dokumen palsu

ARRIE Syahiman Mohd. Zain dan Nurul Azwani Mohd. Razali yang dituduh mengemukakan dokumen palsu menerusi program Penjana Kerjaya dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pemilik dan penyelaras sebuah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tiga tuduhan mengemukakan dokumen palsu menerusi program Penjana Kerjaya, dua tahun lalu.

Arrie Syahiman Mohd. Zain, 33, dan Nurul Azwani Mohd. Razali, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah termasuk terhadap pertuduhan pilihan di hadapan Hakim Norashima Khalid, hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mengemukakan borang pengesahan pekerja program pengambilan insentif pekerja bagi menuntut insentif keseluruhan RM126,100 melalui seorang ejen.

Tertuduh mempunyai kepentingan dengan dokumen itu yang mengandungi butir matan palsu iaitu senarai pekerja sedangkan sebahagian penama bukan kakitangan syarikatnya.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengemukakan tiga dokumen tuntutan palsu bagi mengelirukan prinsipalnya masing-masing berjumlah RM81,800, RM39,000 dan RM5,300.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka pada 7 Jun 2021, 29 Jun 2021 dan 5 Julai 2021 di Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di daerah Kuala Terengganu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butir palsu, jika butir palsu itu dapat dinilai atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan kedua-kedua tertuduh diikat jamin RM15,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan dikenakan syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

Hakim kemudian menetapkan 28 November ini sebagai tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mariah Omar dan Nurul Azwani diwakili Mohd. Hayyatuddin Muhamad manakala Arrie Syahiman tidak diwakili peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya