80 pasangan Malaysia kahwin di Thailand setiap hari

80 pasangan Malaysia kahwin di Thailand setiap hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TRANG, THAILAND: Kira-kira 80 pasangan dari Malaysia melangsungkan perkahwinan di negara ini setiap hari ini khususnya bagi golongan yang menyembunyikan perkahwinan mereka daripada pengetahuan isteri pertama.

Hal demikian didedahkan Konsulat Malaysia di Songkhla yag memaklumkan menerima permohonan itu sehari bagi pengesahan pasangan dari Malaysia yang bernikah di selatan Thailand dengan tempoh sebulan, lebih 2,400 permohonan.

Perkahwinan ini kebanyakannya berlaku di kawasan Narathiwat, Yala, dan Pattani.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Konsul General Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, peratusan permohonan melibatkan pasangan poligami adalah lebih tinggi berbanding permohonan pernikahan kali pertama pasangan.

Katanya, jumlah permohonan ini cukup tinggi sekali gus membuatkan pihaknya ‘tidak menang tangan’ untuk mengurus dan meneliti setiap dokumentasi bagi proses pengesahan tersebut.

“Jumlah permohonan adalah tinggi setiap hari dan ia bukan jumlah untuk satu bulan sebaliknya hanya satu hari.

“Walau berapa pun jumlahnya, pihak konsulat harus memastikan penelitian terperinci bagi mengesahkan setiap permohonan yang dikemukakan,” katanya.

Tambah Ahmad Fahmi, penelitian berkenaan melibatkan dokumentasi yang lengkap agar tidak berlaku keciciran atau kesulitan semasa pasangan pulang untuk mendaftar semula perkahwinan mereka di Malaysia.

Katanya, ada juga di antara permohonan ditolak disebabkan dokumentasi yang diberikan tidak tepat dan maklumat tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.

“Masalah paling ketara adalah sesetengah pasangan datang ke Thailand melalui jalan masuk yang tidak sah di mana mereka tidak merekodkan pergerakan keluar masuk di dalam passport atau pas sempadan.

“Mereka harus peka, antara syarat untuk mendapat pengesahan adalah dengan melampirkan rekod perjalanan ke Thailand yang konsisten dengan tarikh pernikahan di sini.” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Fahmi turut menasihati pasangan yang ingin berkahwin di Thailand untuk sentiasa berwaspada dan mendapatkan jurunikah yang bertauliah.

“Sekiranya pasangan mendapatkan khidmat jurunikah yang tiada tauliah, maka pernikahan tersebut dianggap tidak sah.

“Pihak pejabat jabatan agama selatan Thailand sudah memberi senarai jurunikah yang bertauliah bagi memudahkan pasangan dari Malaysia untuk membuat rujukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN